fbpx

Ibu bapa perlukan panduan PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

SESI persekolahan 2021 mencatat sejarah apabila dimulakan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

PdPR dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah.

Tentunya kaedah ini memberi satu tamparan hebat terutama kepada ibu bapa serta pelajar yang kurang mahir menggunakan teknologi serta golongan B40.

Kekangan ekonomi serta ja­ringan rangkaian telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman adalah antara faktor yang membantutkan usaha menuntut ilmu.

Kini, selepas hampir dua ming­gu PdPR dilaksanakan, sedih, serta simpati lahir dilubuk hati tatkala membaca cerita mengenai halangan yang terpaksa dilalui ibu bapa, guru dan pelajar.

Ada yang terpaksa mendaki bukit, berjalan kaki dengan jarak jauh dan panjat pokok untuk mencari internet.

Ada juga dua buah telefon bimbit dikongsi bersama lapan adik-beradik. Semua yang dilakukan itu adalah jihad dalam me­nuntut ilmu.

Pengerusi Sekolah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Sains, Matematik dan Mutltimedia Kreatif, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah berkata, pelaksanaan PdPR sudah pastinya mempunyai kelebihan serta kekurangannya.

Jelasnya, hasil kajian di Sekolah Pendidikan UTM mendapati, hampir tiada bahan sokongan PdPR untuk dijadikan rujukan oleh ibu bapa.

“UTM telah melakukan kajian, yang antara lain mendapatkan pandangan daripada kumpulan ibu bapa yang buat home­sc­hoo­ling bagi membangunkan satu panduan PdPR untuk ibu bapa.

“Panduan PdPR untuk ibu bapa akan diterbitkan pada pertengahan bulan ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Panduan tersebut akan disebarkan secara percuma melalui laman web UTM dan JPNJ,” katanya.

Menyentuh berhubung kelemahan sistem rangkaian telekomunikasi, Fatin Aliah berkata, rangkaian internet sekarang merupakan keperluan asas se­perti elektrik dan air.

“Jika internet sukar dicapai, alternatif lain adalah rancangan televisyen (TV) Pendidikan. KPM telah menyediakan banyak program dalam TV Pendidikan. Sa­yangnya waktu siaran di saluran percuma iaitu RTM adalah sangat terhad,” katanya.

Siaran TV Pendidikan dalam saluran berbayar adalah lebih banyak berbanding dengan saluran percuma dan perkara ini mungkin boleh diperbaiki.

“Saya pernah mencadangkan kelas komuniti mengikut stan­dard prosedur operasi (SOP) juga diwujudkan di kawasan yang mempunyai rangkaian internet yang lemah.

“Ketua masyarakat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru harus memainkan dalam kelas komuniti itu,” katanya.

Menurut Fatin Aliah, PdPR kali ini bukan sahaja meningkatkan celik teknologi maklumat (IT) pelajar, malah ibu bapa dan guru.

Katanya, jika dahulu pelajar dilarang membawa peranti ke sekolah, sekarang sekolah berada dalam peranti.

“Mungkin pada awalnya semua pihak sukar menerima PdPR, namun dengan pelbagai inovasi dan penambahbaikan, PdPR boleh menjadi lebih berkesan sekiranya ibu bapa dan pelajar mahir menguruskan pem­belajaran.

“Sama ada persekolahan secara bersemuka atau PdPR, tetap ada cabaran dan kekurangannya yang tersendiri, mari kita me­nyalakan lilin daripada mengadu tentang kegelapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI