Semalam, Malaysia kembali tersenarai dalam 50 negara paling banyak kes Covid-19 di seluruh dunia dengan merekodkan kes keseluruhan 234,771 dengan 845 kematian di belakang Indonesia (19) dan Filipina (32) dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Dengan kes aktif semasa 48,751, kapasiti jumlah katil hospital di seluruh negara sudah tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang sentiasa meningkat.
Jadi tidak hairanlah, ramai dalam kalangan pesakit Covid-19 yang tidak mengalami gejala serius, kini tidak perlu menjalani rawatan di hospital sebaliknya hanya di kuarantin di rumah.
Bagaimanapun, jumlah pesakit baharu yang kini berlegar pada angka 4,000 setiap hari membuatkan banyak pihak tidak senang duduk sehingga memaksa kerajaan untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas dalam menangani penularan pandemik berkenaan.
Antaranya ialah mana-mana pihak yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung Covid-19 selepas ini boleh dikenakan hukuman penjara apabila pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diluluskan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.
Pindaan akta itu juga nanti akan membolehkan mereka yang gagal mematuhi peraturan SOP secara berulang atau yang telah diberi amaran, akan dikenakan kompaun yang lebih tinggi berbanding RM1,000 yang dikenakan ketika ini.
Namun, di sebalik amaran keras itu dalam menangani pandemik Covid-19, kerajaan dilihat masih banyak memberi kelonggaran kepada rakyat untuk rakyat melakukan aktiviti harian mereka dan termasuk yang terkini membenarkan sektor pasar malam, cuci kereta dan gunting rambut kembali beroperasi berkuat kuasa semalam.
Malah di beberapa negeri, orang ramai sudah mula dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu serta menjalankan urusan perkahwinan walaupun terpaksa melalui SOP yang ketat.
Pokok pangkalnya sekarang, di sebalik ketegasan kerajaan dalam menangani penularan pandemik tersebut, mereka masih memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk melakukan beberapa aktiviti yang dianggap penting untuk semua.
Tinggal lagi, mampukah kita sebagai rakyat untuk memahami dan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan supaya kadar penularan pandemik Covid-19 di negara ini dapat ditangani dan diturunkan.
Pilihan sekarang di tangan kita sendiri, hargai setiap kelonggaran PKP yang diberikan kerajaan dengan menjaga SOP dengan bersungguh-sungguh atau semua itu ditarik balik dan semua pihak akan mengalami kesukaran dan terjejas dalam kehidupan jika pandemik Covid-19 terus merebak.