fbpx

Hadiah Tahun Baru Cina buat Yoon Sang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong Yoon Sang melihat rumahnya yang sudah diperbaiki oleh sukarelawan MPKK di Kampung Chennah, Titi, Jelebu hari ini.

JELEBU – “Saya rasa amat gembira ada orang kampung datang baiki atap rumah saya selepas lebih lima tahun, saya anggap ini hadiah Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,”.

Itu luahan sayu seorang warga emas, Woon Kiew @ Wong Yoon Sang,78 apabila rumahnya yang uzur dan mengalami kerosakan atap di Kampung Chennah, Titi dekat sini dibaiki secara gotong royong oleh sukarelawan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Chennah.

Bantuan tersebut adalah hasil peruntukan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah sebanyak RM10,000.

“Saya ada memberitahu pihak MPKK untuk membaiki atap rumah saya kerana setiap kali musim hujan saya terpaksa meletakkan besen di setiap penjuru.

“Apabila lihat rumah saya diperbaiki saaya amat gembira dan sangat terharu, terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Yoon Sang yang pernah mengalami kemalangan jalan raya itu sehingga menyebabkan kakinya membengkok memberitahu, dia mempunyai seorang isteri dan tiga anak yang tinggal berasingan di Seremban, Kuala Lumpur dan Johor.

Namun pada tahun ini, dia hanya akan merayakan Tahun Baharu Cina seorang diri di rumahnya itu.

“Pada tahun ini, saya akan menyambut tahun baharu seorang diri kerana isteri saya menjaga cucu di Seremban semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi, saya akan masak dan beraya seorang diri,” katanya yang bekerja sebagai pekebun dan mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa Yoon Sang memerlukan sumbangan untuk membaiki atap pada bulan Oktober tahun lalu.

“Apabila berlaku ribut baru-baru ini, saya melihat dia naik sendiri untuk membaiki atap, bayangkan dia dah sudah tua dan mempunyai masalah kaki. Lantas, saya mengumpulkan tujuh orang sukarelawan kampung secara bergotong-royong untuk membaiki rumah berkenaan.

“Pihak MPKK telah berjumpa dengan Majlis Daerah Jelebu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook dan dengan peruntukkan RM10,000 kita menyiapkan rumahnya selama seminggu,” katanya.

Tambah Rosmadi, selain atap, pihaknya turut membuat empat unit tingkap serta mengecat rumah Yoon Sang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI