fbpx

‘Hadiah’ Alzheimer Tony Bennett

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TONY BENNETT

“BAGAIMANA keadaan cuaca di luar sana?” soal Tony Bennett atau nama sebenarnya Anthony Dominick Benedetto kepada wartawan bernama John Colapinto yang bertamu ke apartmen tiga biliknya di Central Park, New York, Amerika Syarikat (AS).

Ironi, tidak lama sebelum pertanyaan tersebut dibutirkan, Bennett baru sahaja keluar bersiar-siar menghirup udara segar bersama isterinya, Susan Crow dan anjing peliharaan mereka.

Perlahan-lahan Susan yang sudah 15 tahun hidup bersama lelaki berusia 94 tahun itu membuka lembaran cerita. Bennet sudah empat tahun ‘berperang’ dengan penyakit Alzheimer.

Alzheimer merupakan sejenis penyakit neurodegeneratif kronik yang biasanya secara beransur-ansur memburuk dari masa ke masa. Diringkaskan cerita untuk memudahkan pemahaman, Bennett sekarang sudah tiada memori tentang kebanyakan perkara, waima melibatkan orang penting dalam hidupnya.

Satu perkara yang terus menyinari hidup penyanyi kelahiran Queens, New York, AS itu, pastinya berkaitan muzik.

Itu pun kerana magis berkenaan sudah sebati, sedarah dalam dirinya secara semula jadi.

MEMEGANG rekod sebagai penyanyi legenda dengan penghasilan lebih 70 buah album, Tony Bennett kini menjalani hari-harinya tanpa kenangan masa lalu akibat Alzheimer.

Tak kenal garfu, kunci rumah

Susan meletakkan tangan ke bahu suami tercintanya seraya membisikkan sesuatu: “Ini John, Tone (nama manja untuk Bennett). Dia datang sini untuk bercakap dengan kita tentang album baharu.”

Isterinya yang berusia 54 tahun itu barangkali sudah mula menelan hakikat bahawa semakin hari, semakin jauh Bennett terpisah dengan dunia realiti disebabkan Alzheimer.

Tambahan pula, usianya kian menjangkau ke angka 100 dalam sengkang waktu beberapa tahun lagi.

Ada suatu ketika, Bennett mencapai buku berjudul Tony Bennett Onstage and in the Studio (2018), namun dia seperti tidak tahu apa yang dicapainya walaupun kebanyakan foto yang dipaparkan ialah dirinya sendiri ketika zaman kegemilangan baik sebagai penyanyi mahupun penulis.

Biarpun pelantun lagu I Left My Heart In San Francisco itu masih mengenali ahli keluarganya, menurut Susan, Bennett tidak mengerti atau tidak berapa pasti tentang apa yang berlaku di sekelilingnya.

Itu hakikat yang menyedihkan buat Susan dan pastinya buat para peminat.

Lebih memilukan, set sudu garfu dan segugus kunci misalnya boleh menjadi perkara yang amat misteri buat lelaki yang sudah memenangi 19 buah trofi Grammy sepanjang hampir 80 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian itu.

LEBIH 70 tahun mengabdikan diri dalam dunia muzik, kecintaan Bennett terhadap bidang tersebut dilihat sebagai ubat terbaik bagi merawat penyakit Alzheimer yang dihidapi empat tahun lalu.

 

Buat album ketika Alzheimer

Sejak mula melantunkan kerjaya nyanyiannya pada 1945, bapa kepada empat orang cahaya mata itu sudah menzahirkan lebih 70 buah album.

Dia juga pernah berkolaborasi dengan ramai penyanyi hebat dunia termasuk John Mayer, K.D. Lang, James Taylor, Sting, mendiang Amy Winehouse dan terbaharu Lady Gaga.

Album Cheek To Cheek bersama Gaga pula berjaya memenangi trofi Album Vokal Pop Tradisional Terbaik pada Anugerah Grammy 2015.

Siapa mampu menduga, dalam pergelutan berdepan Alzheimer, Bennett sempat merakamkan sebuah lagi album terbaharu bersama protegenya, Gaga yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Sepanjang tempoh rakaman dari 2018 hingga 2020, lelaki tua itu sudah menunjukkan tanda-tanda berpenyakit.

DALAM menghadapi derita Alzheimer, Bennett masih mampu merakamkan album terbaharu bersama penyanyi popular Lady Gaga (kiri) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kata Susan, ketika Bennett dan Gaga menjalani proses rakaman di Electric Lady Studios, New York, dua tahun selepas didiagnosis, dia tidak yakin suaminya itu mampu melunaskan projek berkenaan.

“Kita cuba. Apa yang saya boleh ingat dia cakap, kita cuba,” kenang Susan saat memberikan jawapan kepada pengurusnya, Danny yang juga anak Bennett hasil daripada perkahwinan pertama.

Jika sebelum ini acap kali menjalani sesi rakaman album, Bennett sangat tegas dengan pendiriannya. Jika ada sesuatu yang tidak kena pada matanya, dia lantang memberi teguran.

Masih basah dalam fikiran Susan saat Bennett memarahi penerbit album, Phil Ramone ketika merakamkan album dengan mendiang Winehouse suatu ketika dahulu.

“Tak, jangan sibuk! Biar saya dan Winehouse buat kerja kami,” ujar Susan terkenang ketegasan Bennett ketika mereka berduet merakamkan lagu Body and Soul.

Gaga yang faham tentang situasi Bennett mencuba sedaya upaya berkomunikasi dengan idolanya yang sebelum ini berperanan membentangkan permaidani buatnya berenang deras dalam alunan muzik jazz.

Menurut Susan, pelantun lagu Bad Romance itu akan memastikan perbualannya dengan Bennett bersifat ringkas dan tidak pernah membuatkan kondisinya memburuk.

“Anda kedengaran bagus tadi Bennett.Bukankah seronok kalau setiap malam (menyanyi) begini,” ujar Gaga menerusi satu video yang ditunjukkan Susan kepada wartawan, Colapinto. Bennett hanya membalas ringkas: “Ya, betul.”

 

Dalam video berkenaan, tergambar rasa sedih daripada riak wajah Gaga yang sudah menganggap Bennett bukan sahaja sebagai rakan duet bahkan seperti seorang bapa layaknya.

Barangkali, oleh sebab Bennett menghabiskan hampir sepenuh usianya bergelumang dengan dunia muzik, Gaga berpendapat, Alzheimer yang dideritainya akan sedikit memulih dengan bantuan hal yang paling dicintainya iaitu muzik.

MEMORI. Gambar kenangan Bennett bersama isteri pertamanya, Patricia Beech (kiri) dan dua anak lelaki mereka iaitu Danny (di atas pangkuan) dan Daegal pada 1957.

Muzik sebagai ubat

“Satu fakta tentang Bennett, dia individu pertama yang percayakan bakat saya sebagai penyanyi jazz. Saya tidak akan pernah lupa tentang hal itu,” kata Gaga.

Gaga menjadi antara selebriti terawal mengetahui kondisi Bennett. Danny mendedahkan, Gaga merupakan orang industri yang sentiasa memberikan dorongan buat bapanya.

“Saya cuma ingin tahu sama ada Gaga okey untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada bapa saya.

“Selama ini, Gaga sentiasa ambil berat tentang dirinya. Gaga cakap, dia okey dan melihat apa yang dideritai bapa saya sebagai satu lagi hadiah yang dia boleh beri kepada dunia,” ujar Danny.

Sebenarnya, menukilkan keseluruhan kisah tentang sebutir bintang bernama Tony Bennett terutama pada fasa teruji dengan masalah kesihatan, takkan pernah cukup kata-kata untuk dibicarakan.

Semua ini suatu peringatan bahawa, sinar bintang tidak akan selama-lamanya bergemerlapan. Suatu hari nanti cahaya bintang akan malap, namun legasi yang ditinggalkan akan kekal selama-lamanya kerana ketelusan dan kualiti seni berbekas dalam jiwa peminat.

Buat Tony Bennett, semoga terus membaik dan mampu mengalunkan vokal biarpun diuji hal sebegini.

Memetik lirik lagu paling popularnya, I Left My Heart In San Fancisco, ‘I’ve been terribly alone and forgotten in Manhattan’, tetapi Bennett, anda adalah legenda dan genius muzik yang tidak akan pernah dilupakan.

SAAT menjalani usia tua dan bertarung dengan penyakit nyanyuk, Bennett setia ditemani isteri tercinta, Susan Crow yang menjaganya setiap hari.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI