BERA – Kelicikan ‘scammer’ yang menggunakan loghat perbualan tempatan dan juga mengetahui aktiviti serta mengenali rakan-rakan mangsa menyebabkan mangsa terpedaya dan mengalami kerugian dalam penipuan kewangan.
Seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Fendi berkata, ‘scammer’ yang menyamar sebagai rakan baiknya mengambil masa hanya kira-kira 10 minit untuk mendapatkan wang tunai melalui pindahan wang.
“Walaupun sentiasa berjaga-jaga selepas mendengar ramai mangsa ditipu saya tidak sangka saya juga menjadi mangsa kerana tidak sedar langsung ‘scammer’ yang menghubungi saya.
“Tiada keraguan langsung dalam WhatsApp kerana menggunakan loghat tempatan ‘koi’ malah ‘scammer’ juga mengetahui aktiviti dan program yang saya lakukan sebelum ini selain mengenali rakan-rakan saya lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Fendi dia yang menyedari ditipu selepas mesej WhatsAppnya disekat mengalami kerugian sebanyak RM1,350 akibat kejadian pada Selasa lalu itu.
Katanya, berdasarkan kepada taktik dan cara digunakan mangsa dia percaya ‘scammer’ berkenaan membuat kajian terlebih dahulu dengan melihat maklumat termasuk aktiviti yang dilakukannya dalam Facebook.
Dalam pada itu menceritakan mengenai kejadian pada Selasa lalu Fendi berkata, dia menerima mesej daripada ‘scammer’ yang menyamar sebagai rakannya pada pukul 11 malam sebelum membalas WhatsApp berkenaan pada keesokan paginya.
“Saya ada bertanyakan kenapa dia menggunakan nombor lain dan alasannya adalah kerana talian lama kurang baik dan kebetulan sebelum ini rakan saya ada menyatakan mengenai masalah talian telefon.
“Apabila dia meminta pinjam duit untuk membantu muallaf sememangnya saya yakin kerana saya sering bersamanya melaksanakan program kebajikan melibatkan muallaf,” ujarnya.
Sementara itu, rakan mangsa dikenali sebagai Din yang digunakan ‘scammer’ berkenaan berkata, dia turut menerima WhatsApp daripada scammer yang menyamar sebagai rakannya yang telah menjadi mangsa penipuan berkenaan.
Katanya, dia tidak melayan mesej daripada WhatsApp berkenaan kerana telah dimaklumkan bahawa rakan karibnya telah diperdaya dan ditipu menggunakan namanya sehingga mengalami kerugian.
“Selepas rakan saya memaklumkan kejadian ditipu menggunakan nama saya, saya pula cuba ditipu ‘scammer’ menyamar sebagai rakan saya itu, malah ramai lagi rakan-rakan kami turut cuba ditipu tetapi tidak terpedaya,” ujarnya. – K! ONLINE