fbpx

K2

Didesak lafazkan talak oleh mertua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN sudah berumah tangga, Azam dilayan seperti orang asing. -Gambar hiasan

SEMUANYA cukup indah buat Azam (bukan nama sebenar) apabila dapat mendirikan rumah tangga bersama insan yang dicintainya pada usia yang agak muda.

Dia mengenali wanita itu apabila dirinya berhijrah ke Kuala Lumpur dari sebuah negeri lain untuk bekerja.

“Taraf pendidikan saya tidaklah tinggi. Sebaik tamat pengajian saya terus datang ke ibu kota.

“Saya tinggal di sebuah pangsapuri kos rendah bersama teman yang lain. Kebetulan isteri saya juga tinggal di pangsapuri sama. Kami berkenalan dan bercinta dalam tempoh yang agak singkat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya kepada K2.

Tambahnya, pada mulanya keluarga isterinya tidak merestui perhubungan mereka kerana dirinya dianggap tidak mempunyai kerja yang benar-benar menjamin masa depan.

Keluarga isterinya meletakkan hantaran yang boleh dikatakan cukup tinggi sekiranya dia ingin mengahwini anak mereka.

Bagaimanapun, Azam sebenarnya agak beruntung kerana dia datang daripada keluarga yang agak senang.

“Keluarga saya tidak ada masalah dengan nilai hantaran itu dan mereka bersetuju sahaja. Apabila keluarga isteri saya mengetahui bahawa saya boleh dikatakan datang daripada keluarga yang agak senang, layanan mereka terus berubah dan menerima saya dengan baik sekali,” tegasnya.

Setelah berkahwin dia dan isterinya itu turut menyewa di pangsapuri sama.

Mereka juga dikurniakan dengan dua orang cahaya mata selepas lima tahun berkahwin.

Azam mengakui, agak sukar untuk menyara keluarga apatah lagi dirinya juga telah bertukar kerja berkali-kali.

Namun, dia bernasib baik pada waktu itu kerana keluarganya yang banyak membantunya setiap bulan.

Tetapi setelah kematian kedua-dua orang tuanya, dia hilang tempat bergantung dan pada masa sama sering berhadapan dengan masalah kewangan.

“Sejak dari itu saya sering bergaduh dengan isteri saya. Dahulu ibu bapa saya yang sering membantu apabila saya berhadapan dengan masalah kewangan.

“Layanan keluarga mertua kepada saya juga sudah berbeza. Saya bagaikan dilayan seperti orang asing,” katanya.

Tambahnya, dia telah melakukan pelbagai kerja untuk menampung keperluan keluarganya tetapi masih tidak mencukupi lalu dia terpaksa meminjam.

Demi kelangsungan hidup, Azam pernah menjadi penjual barangan terpakai, bekerja di tempat mencuci kereta dan menjadi penghantar makanan.

Isteri dan keluarganya pula walaupun bukanlah golongan berada tetapi mereka sering berbelanja mewah.

Azman mengakui, dia tidak dapat hendak mengikuti kehendak isteri dan keluarga mertuanya itu.

“Saya mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah lain yang lebih murah kos sewanya. Isteri saya pada mulanya berkeras tidak mahu berpindah kerana dia hendak tinggal dekat dengan keluarganya.

“Akhirnya dia akur dan ikut saya untuk berpindah,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun mereka telah berpindah, isterinya itu sering pulang bersama anaknya ke rumah keluarganya.

BIARPUN sudah berumah tangga, Azam dilayan seperti orang asing. -Gambar hiasan

AZAM menyifatkan dia sering bergaduh besar dengan isterinya kerana hasutan keluarga mertua yang memang tidak sukakan dia sejak awal mendirikan rumah tangga. – GAMBAR HIASAN

Kadangkala dia bersendirian di rumah.

Sejak dari itu, dia juga mengesan perubahan isterinya apabila sering menghabiskan masa dengan telefon bimbit bagaikan tengah dilamun cinta.

Isterinya itu juga sering menolak apabila dia ingin mengadakan hubungan intim.

“Kami bertengkar dan akhirnya dia menyatakan bahawa tidak tahan lagi untuk hidup dengan saya yang serba kekurangan.

“Dia juga menyatakan dia ada mengenali lelaki lain yang memiliki kerjaya yang lebih baik dan keluarganya mengetahui akan hubungan mereka itu,” bicaranya.

Azam mengakui, isterinya itu mempunyai rupa paras yang cukup menawan. Maka, tidak hairanlah ada lelaki lain yang boleh jatuh hati kepadanya.

Lelaki tersebut sendiri ada berjumpa dengan Azam dan menyatakan akan berkahwin dengan isterinya jika Azam melepaskannya.

Dia dan isteri bergaduh besar pada ketika itu lalu isterinya mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal bersama keluarganya.

Dia ada beberapa kali pergi ke rumah mertuanya itu untuk memujuk kembali isterinya itu.

Tetapi dia dihalang untuk berjumpa dengan isterinya oleh keluarga mertuanya sendiri.

Mereka memberi alasan bahawa isterinya itu tidak ada di rumah.

Dalam masa sama, isterinya itu ada mengirim pesanan mesej kepadanya meminta dirinya dilepaskan.

“Saya tidak mahu melepaskannya kerana sayang akan hubungan kami dan anak-anak.

“Saya mengakui tidak dapat memberi kemewahan kepada isteri dan anak-anak. Pada masa yang sama keluarga mertua saya pula seakan langsung tidak boleh menerima saya,” jelasnya.

Kemudian cerita Azam, pada suatu hari, dia menerima mesej daripada isterinya agar dia datang ke rumah mertuanya untuk berbincang.

Dia terus ke sana dengan tujuan untuk menjernihkan keadaan dan membawa isterinya pulang.

“Setibanya di sana kesemua ahli keluarga isteri saya ada. Pelbagai kata kesat dilemparkan kepada saya.

“Mereka memaksa saya untuk melafazkan talak kepada isteri saya pada hari itu juga. Saya mengakui pada ketika itu saya dalam keadaan marah dan tidak dapat berfikir dengan sewajarnya.

Akhirnya saya mengikut kehendak mereka dengan menceraikan isteri saya,” katanya.

Bagi Azam, isterinya itu sudah dihasut oleh ahli keluarganya dan tidak mungkin dia akan kembali ke pangkuan Azam.

Akhirnya mereka disahkan bercerai di mahkamah syariah di ibu kota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI