PETALING JAYA – Pihak pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menjelaskan terdapat salah faham mengenai caj yang dikenakan kepada seorang pesakit yang tular apabila seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri kepada pesakit itu memuat naik satu video di media sosial semalam.
Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid melalui satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, HCTM ingin merujuk kepada isu aduan seorang waris kepada pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di HCTM yang telah tular melalui media sosial.
“Pengurusan HCTM ingin menjelaskan bahawa terdapat salah faham mengenai pengenaan caj kepada pesakit. Bagaimanapun perkara ini telah diselesaikan dan pihak hospital juga telah menghubungi waris,” jelasnya.
Tambahnya lagi, berdasarkan situasi semasa, HCTM sedang giat membantu pihak kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan memberi perawatan kepada pesakit yang dijangkiti virus ini.
“Tiada caj dikenakan terhadap pesakit yang didiagnosis penyakit yang disebabkan wabak, pihak HCTM sentiasa memastikan kebajikan pesakit dan berhubung dengan waris bagi sebarang keperluan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi tiga minit 20 saat memaparkan seorang wanita yang mendakwa isteri kepada seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 menyatakan pihak HCTM memaklumkan dia perlu menjelaskan caj deposit hospital sebanyak RM5,000.
Wanita tersebut yang disahkan bernama Noraliza Mustafa berkata, dia tidak mampu untuk membuat bayaran tersebut memandangkan dia seorang suri rumah dan mempunyai tiga orang anak.
“Mana saya nak cari duit sebanyak itu, saya suri rumah dan mempunyai tiga orang anak. Salah seorang pula adalah orang kelainan upaya (OKU),” jelasnya. -K! ONLINE.