PASIR MAS – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok menyediakan internet jaringan tanpa wayar (WiFi) kepada pelajar sekolah dan universiti dalam kawasan itu untuk kemudahan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta kelas online.
In kerana, capain internet di kawasan itu amat rendah sehingga menyukarkan pelajar sekolah dan universiti untuk belajar.
ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah berkata, Wi-Fi berkelajuan tinggi itu disediakan di Pusat Khidmat DUN di sini dan pelajar boleh datang ke situ untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Katanya, dengan penyediaan Wi-Fi itu, ia sekali gus berupaya menyelesaikan masalah pelajar-pelajar untuk belajar di dalam DUN Chetok.
“Saya teruja melihat para pelajar dapat menikmati kemudahan Wi-Fi dengan sempurna tanpa sebarang gangguan.
“Saya akui ada beberapa kampung di kawasan DUN Chetok berdepan dengan masalah capaian dan liputan internet yang tidak memuaskan. Ada juga kampung yang langsung tidak ada liputan internet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zuraidin memberitahu, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembelajaran kepada anak muda dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai pada masa hadapan.
Sementara itu, seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Roslan, 45, berkata, kemudahan itu amat membantu pelajar di kawasan tersebut yang berdepan masalah capaian internet rendah.
Katanya, dia berterima kasih kepada Pusat Khidmat DUN Chetok yang mengambil inisiatif menyediakan kemudahan tersebut.
Kosmo! Online pada 2 Februari lalu melaporkan, kawasan sawah padi di Kampung Kuar yang berada dalam DUN Chetok sebelum ini sunyi sepi bertukar menjadi lokasi pilihan pelajar mengikuti kelas online sepanjang pusat pengajian tinggi dan sekolah ditutup.
Lokasi itu menjadi tumpuan para pelajar disebabkan oleh capaian internet yang kuat berbanding dengan kawasan lain di kampung berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan pelajar mengambil keputusan untuk berkampung di kawasan tersebut bagi mengelakkan mereka terlepas daripada mengikuti sesi PdPR atau kelas online. – K! ONLINE