IPOH – Seorang lelaki berusia 20 tahun yang menjadi buruan selama empat hari selepas meragut beg tangan seorang warga emas yang berisi wang tunai RM4,000 pada Isnin lalu telah berjaya ditahan polis.
Suspek yang bekerja di sebuah kedai menjual perkakasan besi di Jelapang dekat sini dicekup polis pada pukul 7 malam semalam setelah identitinya berjaya dikenal pasti.
Duit berkenaan dikeluarkan mangsa dari sebuah bank pada minggu lalu untuk dihadiahkan kepada dua cucunya yang baru dilahirkan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, wang tersebut telah habis dibelanjakan remaja berkenaan yang mengaku digunakan untuk membeli dadah selain membelanja rakan-rakannya.
Menurutnya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berjaya mengesan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang suspek.
“Hasil semakan polis telah mengesan pemilik motosikal berkenaan yang membawa kepada penangkapan suspek tersebut.
“Suspek menggunakan motosikal jenis Honda EX5 milik rakannya untuk melakukan jenayah tersebut.
“Semakan pula mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk enam berkaitan kesalahan dadah. Dia kini direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Asmadi menziarahi kedua-dua warga emas tersebut iaitu Salmah Hashim, 73, dan suaminya, Sa-Ismail Kulop Yabidin, 77, di kediaman mereka di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini.
Dalam kunjungan itu, beliau mewakili warga Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan bayi dan alat permainan kanak-kanak kepada cucu warga emas tersebut.
Tambah Asmadi, sumbangan kecil itu sebagai saguhati berikutan wang yang diragut itu hendak digunakan mangsa untuk dihadiahkan kepada cucunya.
Sementara itu, Salmah memberitahu, dia dan suaminya telah memaafkan tindakan pemuda itu selain menganggap wang itu bukan rezeki mereka berdua.
Malah, dia juga tidak menyimpan perasaan marah atau dendam dengan tindakan suspek selain bersyukur kerana mereka berdua tidak mengalami kecederaan.
“Mak cik tak dapat kata apa. Kami anggap bukan rezeki dan halalkan wang yang diragut. Mungkin ada hikmah kejadian itu dan mungkin rezeki kami ada di tempat lain.
“Soal polis dah tangkap suspek pun mak cik tak ambil kisah, nak kata suka pun tak, marah pun tak. Biarlah polis jalankan tugas mereka,” ujarnya.
Kosmo! hari ini melaporkan, hasrat seorang wanita warga emas untuk menghadiahkan wang tunai RM4,000 kepada dua cucunya berkecai selepas dia diragut dalam kejadian di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini Isnin lalu. – K!ONLINE