PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, satu lagi varian baharu Covid-19 iaitu B117 telah dikesan di negara ini yang membabitkan pengembara pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Ravindran Thayan berkata, individu tersebut yang juga rakyat Malaysia pulang dari UAE selepas menjalani latihan di sana.
“Satu lagi kes terbaharu ini bukan yang pulang dari United Kingdom (UK) tetapi dari UAE,” katanya pada sesi libat urus darurat Covid-19 siri 2/2021 : ujian pengesanan Covid-19 dan kesiapsiagaan makmal KKM secara maya di sini hari ini.
Sesi libat urus tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu, Ravindran berkata, pihaknya mendapatkan sampel-sampel di pintu masuk negara selain kluster-kluster yang turut dilaporkan di negara ini.
“Kita juga melaksanakan kerjasama dengan makmal swasta untuk menjalankan penjujukan genom sekali gus mengesan varian baharu tersebut,” katanya.
Sebelum ini, varian baharu B117 dikesan membabitkan seorang rakyat Malaysia yang pulang dari UK pada Disember lalu. -K! ONLINE