fbpx

TTONTHEMOVE lupakan sengketa, kini masa untuk Roy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TTONTHEMOVE

UMUM pernah diperkenalkan dengan nama TTONTHEMOVE, sebuah kumpulan hip hop yang dikecohkan dengan insiden persengketaan dengan kumpulan terkenal K-Clique sekitar tahun lalu. Lama berdiam berkarya dan mencari rentak, TTONTHEMOVE kini membuka lembaran 2021 dengan kehadiran dengan single baharu berjudul Roy.

Dibarisi tujuh orang anak muda iaitu Izhar (Kelab Nyoz), Giant, Tulangkata, Boi Tasik, Leodin, dam13n, MUHsroom dan BHeart, Roy turut menampilkan kehadiran Raq (Zynakal), sekali gus merupakan sekuel ketiga dalam siri ‘Rompak Sound’ yang tercetus apabila Izhar mengetengahkan idea bagi menghasilkan beat Trap-Kapak.

Mula dilancarkan hari ini, eksperimentasi muzik dalam Roy menyajikan kombinasi baru buat TTONTHEMOVE dalam menemukan jalan tengah antara muzik trap ‘new-school’ dengan rock-kapak ‘old-school’.

Roy yang mendapat sentuhan lirik daripada Tulangkata, Boi Tasik, Leodin, dam13n, MUHsroom, B-Heart dan Zynakal juga menginspirasikan lagu malar segar Pelesit Kota oleh kumpulan legenda Search sebagai rujukan Rompak Sound kali ini.

Disusun oleh kesemua ahli termasuk Zynakal, baris-baris lirik lagu berkenaan memberi perspektif terhadap sub-kultur ‘rempit’ dan pengaruhnya pada cara hidup remaja abad ke-21.

Setiap baris padat dengan referensi, metafora serta simbolisme dari dunia permotoran dan kehidupan sosial seperti yang dapat dilihat dalam filem Gila-Gila Remaja.

Projek yang dihasilkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tersebut dijangka akan memecah tembok antara muzik generasi lama dan baru. Kumpulan tersebut bersedia untuk mencuba genre Trap Kapak bagi membuka perspektif baru dalam arena muzik hip hop tempatan.

Tulangkata selaku wakil TTONTHEMOVE menjelaskan mereka kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan muzik segar dan unik biarpun pernah terpalit kontroversi pertelingkahan dengan K-Clique tahun lalu.

“Semoga sekuel ketiga Rompak Sound ini akan membuka jalan baru buat TTONTHEMOVE untuk terus bereksperimentasi dalam pembikinan lagu.

“Roy menerusi sekuel Rompak Sound ini dihasilkan bagi mencari kombinasi terbaik dalam pembikinan lagu melalui pelbagai eksperimen di dalam dan luar studio.

“Biarpun pernah terpalit kontroversi berantakan dengan pemuzik lain tahun lalu, fokus kami tahun ini sememangnya bagi menghasilkan lebih banyak lagu yang segar dan ‘rare’,” kata Tulangkata.

Katanya lagi, kumpulan yang dianggotainya sudah bersedia untuk melupakan tragedi hitam yang berlaku tahun lalu dengan kumpulan rap popular K-Clique.

“Kami sudah melupakan tragedi hitam tersebut malah kini teruja untuk berkolaborasi bersama Zynakal yang hadir dengan alter-ego Raq menerusi lagu ini. Jadi, lagu ini merupakan penyatuan pertama Zynakal bersama kumpulan rap underground.

KUMPULAN TTONTHEMOVE dibarisi oleh Izhar (Kelab Nyoz), Giant, Tulangkata, Boi Tasik, Leodin, dam13n, MUHsroom dan BHeart.

“Besar harapan kami agar lagu ini dapat membuka mata masyarakat tentang keseimbangan kombinasi antara muzik Barat dan rock kapak Timur.

“Semoga sekuel ketiga Rompak Sound ini akan membuka jalan baru buat TTONTHEMOVE untuk terus bereksperimentasi dalam pembikinan lagu serta mendapat sambutan ramai, sekali gus membuka jalan baru buat kami dalam arena muzik tanah air,” jelas Tulangkata.

TTONTHEMOVE ditubuhkan sejak penghujung tahun 2019 apabila sekumpulan anak muda nekad mengekspresikan rasa jiwa mereka melalui muzik rap.

Mereka sebelum ini juga telah melancarkan lapan buah termasuklah Runnagang dan Lu Tahu Tu yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat musik ‘underground’ negara. Tahun 2021 juga diharap bakal bersinar dan memberi cahaya kejayaan buat TTONTHEMOVE dalam arena muzik arus perdana.

Roy oleh TTONTHEMOVE feat. Raq kini sudah tersedia dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala lirik videonya boleh ditonton dalam YouTube channel TT ONTHEMOVE bermula pukul 9 malam 5 Februari 2021. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI