fbpx

TMJ kagum usaha Ustaz Ebit Lew, sumbang RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail menerima kunjungan Ebit Lew di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kagum dengan usaha pendakwah popular Ustaz Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di negeri ini.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi miliknya berkata, Ustaz Ebit Lew sering menolong rakyat terutamanya golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.

“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.

“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Tunku Ismail berkata demikian ketika menerima kunjungan pendakwah itu di kediaman rasminya di Istana Bukit Pelangi, di sini hari ini.

Tunku Mahkota Johor itu turut meluahkan harapan agar Ustaz Ebit Lew sentiasa dirahmati dan diberkati Allah.

Sementara itu, Ustaz Ebit Lew dalam entri dimuat naik menerusi laman Facebooknya pula memberitahu, Tunku Ismail menyumbang sebanyak RM200,000 bagi membantu menjayakan misi kemanusiaan dilakukannya.

Katanya, Tunku Ismail turut meluahkan hasrat untuk menaja keseluruhan pasukannya menjalankan ibadah umrah.

“Ya Allah TMJ sangat baik. Raja yang kuat memikirkan keadaan rakyat Johor dan seluruh Malaysia. Tadi panjang berbual berbincang bagaimana nak bantu orang susah dan menjaga agama Islam. Mendidik anak muda. Naikkan institusi pendidikan.

“Saya malu sangat. Serius terharu terkesan akhlak dan sifat TMJ. Bayangkan dilayan macam kawan jer. Sedangkan saya cuma orang biasa. Dari awal lagi masa beri bantuan Tuanku selalu beri semangat pada saya.

“Kami selalu bermesej juga. Kata beliau paling berharga, ustaz teruskan kebaikan ini walau orang tak suka. Kita hidup bukan untuk popular tapi berjaya. Bantu rakyat. Sedangkan usaha saya ini amat kecil dibandingkan usaha TMJ. Raja Johor,” ujarnya.

Sementara itu, Ebit Lew turut memaklumkan pihaknya berminat untuk mengikuti jelajah Kembara Mahkota Johor suatu hari nanti.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI