PENJAGA gol skuad Kedah, Shahril Saari meletakkan harapan tinggi untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.
Shahril berkata, persiapan pramusim yang dilakukan lebih dua bulan lalu cukup positif meskipun kem latihan pasukan Helang Merah terpaksa dihentikan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.
“Persiapan musim ini tiada beza dengan musim lepas tetapi kali ini saya lebih fokus dalam memastikan tempat dalam kesebelasan utama terjamin memandangkan Kedah akan mengharungi jadual padat tahun ini.
“Secara jujur, latihan pada permulaan pramusim agak baik tetapi momentum tidak dapat diteruskan dengan kekangan PKP dan sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan.
“Namun, latihan intensif secara individu tetap dilakukan dan sebagai pemain profesional, kita perlu bijak menggunakan setiap peluang dalam usaha mengekalkan kecergasan,” katanya.
Sebagai rekod, tahun ini bakal menjadi musim kedua bersama skuad Helang Merah buat penjaga gol berusia 31 tahun itu selepas berhijrah daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada penghujung 2019.
Kedah yang dibimbing oleh Aidil Sharin Shahak akan memulakan kempen Liga Super pada 5 Mac dengan aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selain itu, skuad Hijau Kuning ini turut bersaing dalam kancah Piala AFC dan telah diundi bersama wakil Singapura, Lion City Sailors dan jaguh Vietnam, Saigon dalam Kumpulan H.