PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.
Pemakluman itu dibuat menerusi satu surat daripada pejabat Ketua Pengarah Pelajaran (KPPM) bertarikh 4 Februari yang dikeluarkan untuk Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri.
Katanya, sesi persekolahan yang berakhir pada 9 Februari bagi calon SPM dan SVM Tahun 2020 itu adalah bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini.
“Bagi murid yang tinggal di asrama sekolah, mereka perlu kekal berada di asrama. Bagaimanapun, murid asrama yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan pada 9 Februari ini.
“Namun, kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, murid yang ingin kembali semula ke asrama selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama.
Jelasnya lagi, murid tersebut juga akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut.
Selain itu, sekiranya murid ingin kekal berada di rumah, mereka dibenarkan untuk menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan yang berhampiran.
“Bagi tujuan itu, ibu bapa atau penjaga murid perlu memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah selewat-lewatnya pada 9 Februari ini.
“Pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut itu bagi membolehkan urusan peperiksaan murid dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.-K!ONLINE