SABAK BERNAM – Seorang warga Myanmar melecur manakala tiga lagi rakan senegaranya terselamat selepas bot nelayan dinaiki terbakar di kedudukan 16.6 batu nautika Barat Daya Sungai Besar di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi, identiti kesemua lelaki belum dikenalpasti dengan mangsa yang melecur telah dihantar ke Hospital Sabak Bernam (HSB) untuk rawatan lanjut.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan MERS999 daripada Pusat Kawalan Trafik Udara memaklumkan pesawat AW139 yang sedang melakukan rondaan udara mengesan sebuah bot nelayan tempatan terbakar.
Katanya, aset maritim yang diarahkan ke lokasi kejadian mendapati terdapat empat lelaki warga Myanmar di bot tersebut.
“Seorang daripada mangsa dilaporkan melecur sebanyak 90 peratus dan dibawa ke HSB menggunakan pesawat.
“Tiga lagi kru bot itu telah diselamatkan oleh bot nelayan yang berada di lokasi kejadian dengan punca masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, maklumat telah disalurkan ke agensi sahabat iaitu KD Gagah Samudera (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti maritim. – K!ONLINE
[VIDEO] Seorang warga Myanmar melecur manakala tiga lagi rakan senegaranya terselamat selepas bot nelayan dinaiki terbakar di kedudukan 16.6 batu nautika Barat Daya Sungai Besar, Sabak Bernam pagi tadi.
Berita penuh klik https://t.co/7pNKtjy6Le pic.twitter.com/d9NewJhKiW
— Kosmo! Online (@kosmo_online) February 5, 2021