PETALING JAYA – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mewakili 7,000 ahlinya yang berkerja dalam industri kreatif memohon pihak kerajaan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang berkerja industri berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuatkuasa.
Menurut satu kenyataan rasmi yang dikirimkan kepada Kosmo! Online sebentar tadi, Seniman akur dan sentiasa patuh dengan arahan sepanjang tempoh PKP namun mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan hutang yang perlu dijelaskan.
“Kebanyakan daripada kami berkerja secara freelance atau job basis, apabila dikuatkuasakan PKP, kami tidak lagi dibenarkan menjalankan penggambaran dan tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup, kami juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak kami serta hutang yang perlu dijelaskan.
Sehubungan dengan itu, Seniman memohon agar pihak kerajaan dapat mengeluarkan SOP kepada mereka untuk meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang amat mencabar ini.
“Pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai dateline untuk menyiapkan sesebuah karya.
“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat wabak Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,” ujar kenyataan itu.
Persatuan tersebut percaya industri kreatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia, seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia.
“Setiap hari dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi, jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi, kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Seniman sekali lagi mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan dan SOP kepada warga industri kreatif secepat mungkin untuk kami meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup kami dan keluarga.
“Seniman percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia termasuk kami didalam Industri Kreatif yang amat terjejas sekiranya kami terus tidak dibenarkan menjalankan penggambaran secepat mungkin,” kata kenyataan itu lagi. – K! ONLINE