PARIT BUNTAR – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut dalam kebakaran rumah kedai di Jalan Pantai, Kuala Kurau dekat sini hari ini.
Mangsa, Leng Li Zhee meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar akibat melecur pada bahagian badan.
Kebakaran turut menyebabkan ibu mangsa yang belum dikenal pasti maklumat pengenalan diri patah kaki kiri semasa terjun menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 1.10 pagi.
Menurutnya, siasatan awal kebakaran dipercayai akibat litar pintas pendawaian elektrik yang bermula di bahagian bawah rumah dan merebak ke tingkat atas.
“Kebakaran memusnahkan 95 peratus rumah. Semasa kejadian, terdapat lapan orang berada dalam rumah berkenaan termasuk mangsa yang meninggal dunia iaitu tiga wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi yang sempat menyelamatkan diri dengan bantuan bomba dan orang awam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazuki, berdasarkan maklumat saksi orang awam, kebakaran bermula di bahagian bawah rumah tersebut.
“Temubual dengan pemilik rumah memberitahu pada kira-kira pukul 12.45 tengah malam, dia terdengar bunyi letupan kuat beberapa kali dan dan melihat kepulan asap tebal.
“Dia kemudiannya menjerit dan beritahu ahli keluarganya supaya menyelamatkan diri dan keluar melalui tingkap sebelah kiri rumah dengan bantuan orang ramai dan pihak bomba,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 12.56 tengah malam dan operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 4.05 pagi. – K! ONLINE