fbpx

PKPD dua lokaliti di Sarawak bermula esok, dua lagi dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak mulai esok sehingga 19 Februari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD perlu dilaksanakan di lokaliti tersebut bagi memudahkan pelaksanaan saringan secara bersasar oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif Covis-19 telah direkodkan.

“Antara Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD di kedua-dua lokaliti ialah penduduk tidak dibenarkan keluar masuk ke kawasan PKPD dan semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak bermula 11 Februari 2021 sehingga 16 Februari 2021.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 10 Februari 2021.

“Sehingga 3 Februari 2021, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 2,021 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk terus kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar dan sentiasa patuh SOP serta amalkan kawalan kendiri demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI