fbpx

Pesakit kanser jual kerepek pisang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLINAH menunjukkan kerepek pisang yang dihasilkannya untuk dijual ketika ditemui di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Seorang pesakit kanser payudara enggan me­nyerah kalah untuk meneruskan hidup apabila berusaha keras menjual kerepek pisang yang dihasilkan bersama anak perem­puannya di Kampung Sungai Mahang, Nilai dekat sini.

Roslinah A. Kadir, 60, yang juga ibu tunggal, berkata, dia menghidap kanser payudara sebelah kiri sejak 15 tahun lalu dan kini me­rebak ke sebelah kanan.

Mempunyai tiga orang anak termasuk seorang OKU lembam, Khoirin Syakira Zahari, 24, Roslinah memberitahu, dia juga mempunyai penyakit kencing manis dan sukar untuk berdiri dalam tempoh lama.

“Saya menjual kerepek pisang sejak muda lagi selepas mempelajari untuk menghasilkannya daripada arwah ibu.

“Namun kini saya tidak lagi mampu berdiri lama kerana kaki sudah tidak kuat. Khoirin Syakira membantu saya menyiapkan tempahan kerepek pisang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, bagi menampung kehidupan, dia juga mempelbagaikan makanan jualannya se­perti kuih kapit, maruku dan biskut selain dua orang anaknya yang lain bekerja di Nilai 3, dekat sini.

“Menerusi menjual kerepek pisang ini saya boleh mendapat pendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Penduduk kampung juga membantu meringankan beban saya dengan selalu menyumbang barangan keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa kedai makan yang menjadi pelanggan kerepek pisangnya terpaksa menutup ope­rasi buat sementara jadi dia hanya menjual menerusi dalam talian dengan mempromosikannya di Facebook.

“Saya harap ada pihak yang dapat membantu daripada segi mesin dan peralatan memasak kerepek bagi memudahkan urusan saya untuk menjalankan perniagaan ini lebih-lebih sebelum kedatangan bulan Ramadan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI