fbpx

Pertemuan bersemuka dengan Jokowi beri ruang tingkat hubungan sedia ada- PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHYIDDIN dan Joko Widodo melambai ketika sesi 'Veranda Talk' di Istana Merdeka.

PETALING JAYA- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ke Indonesia selama dua hari yang bermula semalam memberi makna apabila pemimpin kedua-dua negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka.

Muhyiddin berkata, pertemuan empat jam dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo itu memberi ruang untuk kedua-dua negara mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik.

“Berbanding perbincangan secara persidangan video, perbualan kami lebih mesra dan konstruktif, malah beliau meminta saya sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Katanya, pertemuan bersama pada sesi ‘veranda talk’ merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik Covid-19.

“Pada sesi itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut meluangkan masa menunaikan solat Jumaat bersama Jokowi di Masjid Baiturrahim yang terletak di pekarangan kompleks Istana Merdeka.

Beliau turut merakam penghargaan atas sambutan yang disifatkan luar biasa meskipun dilaksanakan dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI