fbpx

Peniaga tepi jalan adalah ‘hero’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMAD AZLAN JAAFAR
PENGARANG KUMPULAN MEDIA MULIA

Sepasang suami isteri yang dibuang kerja kini menjual kuih di gerai tepi jalan di selatan Lembah Klang. Berikutan ketiadaan pekerjaan, mereka menerjah ke alam perniagaan.

Mereka tidak pernah mempunyai pengalaman berniaga sebelum ini. Malah ramai berniaga di tepi jalan hari ini belajar membuat kuih atau hidangan daripada internet atau YouTube.

Hidup mereka berubah 360 darjah. Daripada makan gaji kepada cari makan. Makan gaji apabila seseorang ada pendapatan tetap. Tidak kira macam mana sekalipun, gaji tetap ada. Kini mereka mencari makan.

Pendapatan bergantung kepada banyak faktor. Kos ramuan, hujan panas, lokasi, sambutan pelanggan, penetapan harga, cara melayan pelanggan, pengurusan kewangan, kutipan hasil dan pengiraan perolehan terhadap kos. Semua ini perkara baru kepada ribuan peniaga bidang terjun ini.

Rata-rata di Lembah Klang, ribuan peniaga baru menjadikan bahu jalan sebagai kedai. Asalkan kawasan itu dijangka ada pelanggan, dipacaknya khemah.

Kepada kebanyakan mereka, ini sahaja jalan keluar yang ada. Ini kerana perbelanjaan tetap seperti hutang rumah dan kenderaan didasarkan kepada tangga gaji dulu. Bagaimanapun, semua itu sudah lesap, tetapi kehidupan harus diteruskan.

Itu tidak termasuk perbelanjaan dapur dan anak-anak. Mahu tidak dapat tidur lena memikirkannya. Kepada yang pernah berniaga, akan tahu maksud sebenar ‘mencari makan’. Ada ketika bayaran diterima diikuti sujud syukur tanda rendah diri. Ada pepatah mengatakan, kekuatan sebenar seseorang dilihat apabila dia diduga. Covid-19 menduga jutaan rakyat.

Peniaga baharu ini adalah hasil Covid-19. Dugaan mereka tidak kurang atau lebih teruk daripada frontliners. Hanya mereka tidak dilihat membanteras Covid-19. Mereka bukan hero dalam episod

Covid-19. Tetapi hero adalah mereka yang berusaha memastikan ada rezeki di atas meja, bumbung untuk berlindung bagi diri dan anak-anak serta keperluan asas tersedia.

Cabaran paling sukar kepada peniaga baharu ini untuk memuaskan hati pelanggan. Di era internet ini, ramai berkongsi pandangan atau cemuhan dengan mudah. “Kedai ini makan tak sedap, layanan lembab, harga tak masuk akal.” Ini termasuk menyertakan gambar atau lokasi perniagaan.

Ini sebahagian asam garam memulakan perniagaan. Dalam banyak perkara, pelanggan selalu betul. Peniaga perlu utamakan harga berpatutan serta menekankan kepada jumlah berbanding pulangan singkat. Pastikan pelanggan akan kembali. Peniagaan berjaya kerana pelanggan berulang.

Masyarakat harus memberi peluang dan tidak terlalu kritikal. Kebebasan bersuara tidak bermakna menutup periuk nasi orang lain. Menghargai ketekunan untuk berhujan panas, mencuba sesuatu yang tidak pernah difikirkan untuk keluarga adalah lebih mulia daripada meminta-minta.

Mereka ini adalah ‘hero’ pandemik Covid-19. Semoga mereka diberi kejayaan dan apabila Covid-19 berakhir, perniagaan mereka terus berkembang dan tidak perlu kembali makan gaji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI