KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan Bas Malaysia memohon kerajaan mengambil alih hutang yang ditanggung kira-kira 14,382 pengusaha bas di semenanjung Malaysia.
Timbalan Presiden sekretariat itu, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, anggaran kasar jumlah hutang yang ditanggung mereka kepada kreditor ialah RM4.5 bilion.
“Kita meminta kerajaan mengambil alih hutang tersebut dan meletakkannya di bawah seliaan kerajaan.
“Kalau diberi moratorium sekali pun, bayaran faedah tetap berjalan dan akan meningkat dari bulan ke bulan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, pihak sekretariat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta keprihatinan dan perhatian baginda dalam menyelamatkan industri bas dan pelancongan negara yang semakin tenat.
Memorandum diterima oleh wakil Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong.
Ujarnya, pihak sekretariat telah berjumpa dengan beberapa kementerian, antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna serta Jabatan Perdana Menteri, namun tiada hasil perbincangan yang memuaskan dapat dicapai.
Dalam memorandum itu, pengusaha bas menyatakan mereka bakal menghadapi kesukaran dengan pihak bank dan kreditor sekiranya tiada tindakan diambil.
“Syarikat-syarikat kredit telah mendesak dan memaksa pengusaha-pengusaha terus melakukan pembayaran ansuran walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir.
“Kadar faedah yang tinggi juga menyebabkan pengusaha berhadapan dengan beban tanggungan yang tinggi sehingga kini berdepan dengan tindakan dakwaan serta penarikan kenderaan tersebut,” menurut memorandum itu.
Katanya, bas-bas mereka kini tersadai dan tidak dapat mencari rezeki akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
Selain pembayaran hutang bas, Ruslan berkata mereka juga perlu menanggung gaji pekerja dan kos operasi lain.
Seorang pengusaha bas dari Pulau Pinang, Aziss Zainal Abidin berkata, dia menanggung hutang RM80,000 sebulan untuk bayaran lapan bas yang dibelinya.
“Jika bas tidak bergerak, ia akan mengalami kerosakan. Itu juga kos yang perlu ditanggung.
“Bila pihak kreditor tekan kami, kami nak bayar macam mana?” katanya.
Ujarnya, dia mempunyai rekod bayaran hutang yang cantik sebelum penularan pandemik namun kini dia tidak mampu membuat bayaran kerana tiada pendapatan yang masuk. – K! ONLINE