PETALING JAYA – Kalau ramai yang buntu pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang kerana keputusan punca pendapatan, lain pula ceritanya dengan YouTuber popular, Che Nom.
Che Nom atau nama sebenarnya, Norma Bakar berkongsi berita gembira melalui laman sosial apabila pengikutnya di YouTube sudah mencecah 1 juta orang.
“Alhamdulillah, dah 1 juta. Terima kasih kepada semua yang sokong. @GoogleMsia tolong bungkus saya Gold Play Button sebaiknya, ye.
“Terima kasih untuk ucapan dan doa daripada anda semua. Tanpa sokongan dan doa, tak mungkin Che Nom berjaya,” kata Che Nom yang merupakan bekas jurutera.
Sebelum ini, Che Nom terkenal dengan resipi-resipi menyelerakan disulami dengan tutur kata yang lemah lembut sewaktu memasak kembali trending di media sosial sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dikuatkuasakan.
YouTuber tempatan yang popular dengan pembuka kata ‘hai semua’ itu sebelum ini menjadi pilihan tontonan netizen di platform YouTube sewaktu PKP pertama kali dilaksanakan Mac tahun lalu.
Di samping bergelar seorang ibu penyayang dan lembut tutur katanya, Che Nom juga merupakan antara YouTuber popular yang telah berjaya menambat hati ramai kerana digambarkan seperti belajar memasak dengan seorang emak menerusi pelbagai video resipi yang sangat menyelerakan. – K! ONLINE