SUDAH tiba masanya untuk pihak kerajaan memberi ‘lampu hijau’ dalam usaha menggerakkan kembali industri bola sepak secara keseluruhan bagi membolehkan pasukan dapat melakukan persiapan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac depan.
Pandangan tersebut diluahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang yang percaya situasi menang-menang perlu diwujudkan tetapi pada masa sama, tanggungjawab membendung penularan pandemik Covid-19 harus tetap dipelihara.
Suffian berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pemegang taruh Liga Malaysia perlu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diterima oleh semua pasukan agar Liga M dapat berjalan seperti dirancang.
“Sebagai CEO Sri Pahang FC yang bertanggungjawab kepada semua pemain, yang secara tidak langsung merupakan pekerja, saya juga mengidamkan industri bola sepak dapat berlangsung seperti industri-industri yang lain.
“Saya turut berbincang dengan CEO pasukan lain dan kami agak gusar jika liga ditangguhkan terlalu lama kerana perlu menjawab perkara itu dengan pihak penaja.
“Kita patuhi apa jua hasrat kerajaan, namun keresahan ini dapat diatasi jika liga dapat diteruskan dengan SOP yang boleh dipatuhi kerana kalau tunggu vaksin, ia akan memakan masa lama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa saingan Liga M yang sepatutnya bermula pada 26 Februari ditunda ke tarikh baharu pada 5 Mac depan.
Ia susulan keputusan pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara kecuali Sarawak bermula 13 Januari hingga 18 Februari ini.
Keputusan itu telah menjejaskan persiapan pramusim yang dirancang oleh pasukan kerana kegiatan aktiviti sukan secara berkumpulan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.
Sebelum ini, saingan Liga M pernah ditunda lebih lima bulan susulan penularan pandemik Covid-19 tahun lalu selain kejohanan Piala Malaysia dan Piala FA turut dibatalkan.