fbpx

K2

Larry King tiada galang ganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LARRY King begitu mengagumkan dalam mengendalikan bual bicara santai.

Larry King atau nama lengkapnya Lawrence Harvey Zeiger yang mencipta nama menerusi rancangan Larry King Live di CNN selama 25 tahun menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun minggu lalu.

Bagaikan ‘raja’ dalam dunia penyiaran, beliau merupakan ikon bual bicara Amerika Syarikat (AS) yang telah menemu bual pelbagai lapisan masyarakat termasuk presiden, ahli politik, selebriti, atlet dan bintang filem.

Pada tahun 2010, beliau telah bersara daripada rancangan Larry King Live setelah merakam lebih 6,000 episod.

Selain itu, beliau juga terkenal menerusi program radio The Larry King Show pada tahun 1978.

Rancangan Larry King Now dan Politicking with Larry King di Ora Media sebagai penutup tirai kerjaya pengacaraannya sebelum dijemput ajal pada 23 Januari lalu.

Berita pemergian Larry King tersiar menerusi akaun Facebook miliknya yang mengesahkan kematian ikon penyiaran dan wartawan dunia itu.

“Dalam penuh kesedihan dan kedukaan, Ora Media ingin mengumumkan kematian pengasas bersama dan hos, Larry King di Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles.

“Selama 63 tahun beliau telah terlibat dalam pelbagai platform radio, televisyen dan media digital dengan ribuan wawancara, penghargaan serta pujian global yang menjadi bukti bakat uniknya dalam dunia penyiaran,” tulis kenyataan itu.

Pun begitu, kenyataan tersebut tidak memberikan sebab kematian Larry King meskipun beliau dirawat di hospital kerana dijangkiti Covid-19 pada akhir Disember lalu.

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu menderita beberapa masalah kesihatan sejak bertahun-tahun lalu seperti serangan jantung.

Pada tahun 1987, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung yang telah mengilhamkannya untuk mendirikan Yayasan Jantung Larry King bagi memberi bantuan kepada mereka yang tidak mempunyai insurans.

BEKAS Presiden AS, Bill Clinton (tengah) dan bekas Timbalan Presiden AS, Al Gore (kanan) ditemu bual Larry di Rumah Putih pada 5 Jun 1996. –AFP

Larry King mendedahkan pada tahun 2017, beliau telah didiagnosis menghidap barah paru-paru dan berjaya menjalani pembedahan untuk mengubatinya.

Beliau juga menjalani prosedur perubatan pada tahun 2019 untuk masalah angina iaitu rasa sakit di dada.

Tahun lalu, dua orang anak lelakinya meninggal dunia selang seminggu sehingga meninggalkan kedukaan yang mendalam buat Larry King.

Andy King, 65, meninggal dunia kerana serangan jantung, manakala Chaia King, 52, pula menderita kanser paru-paru.

Larry King masih lagi mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Larry Jr., Chance dan Cannon.

“Dunia mengenalinya sebagai penyiar serta hos yang hebat dan bagi kami beliau adalah ayah terbaik.

“Ayah adalah orang yang sangat taksub terhadap jadual kerja tetapi tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak-anak,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh anak-anak Larry King.

Tambah kenyataan itu lagi, beliau merupakan bapa yang luar biasa dan mereka mempunyai hubungan yang erat seperti kawan baik.

Walaupun pada masa kini terdapat ramai hos yang hebat tetapi ketokohan Larry King dalam dunia penyiaran tiada tolok bandingnya.

LARRY bersama isteri, Shawan dengan anak-anak mereka hadir pada tayangan perdana filem Rugrats Go Wild di Cinema Dome, Los Angeles pada 1 Jun 2003. – AFP

Pengasas CNN, Ted Turner memberitahu, sikapnya yang ramah dan santai menjadikan pendekatan Larry King dalam setiap sesi wawancara cukup bersahaja serta membuatkan tetamu yang ditemu bual berasa selesa.

“Larry King adalah salah seorang rakan yang paling rapat dan dia adalah wartawan penyiaran terhebat sepanjang zaman.

“Jika ada yang bertanya apakah pencapaian terbaik dalam kerjaya saya, ia adalah mengasaskan CNN dan mengambil Larry King bekerja,” katanya.

Ujar Turner, semua orang yang pernah bekerja dengan Larry King akan tahu bahawa dia seorang yang profesional, mentor luar biasa dan kawan yang baik.

Dilahirkan pada November 1933 di Brooklyn, New York, Larry King merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Bapanya Edward Zeiger dan ibu, Jennie berhijrah dari Belarus ke AS pada tahun 1930.

Edward meninggal kerana serangan jantung ketika usia Larry King baru 10 tahun.

Kematian bapa memberi kesan mendalam buat beliau dan ibunya sehingga terpaksa meminta bantuan daripada badan kebajikan untuk menyara mereka sekeluarga.

LEGENDA petinju dunia, Muhammed Ali (tengah) dan pelakon aksi terkenal Arnold Schwarzenegger diwawancara Larry di Phoenix, Arizona pada 16 Mac 2002. – AFP

“Sebelum kematiannya, saya merupakan pelajar cemerlang tetapi selepas pemergian bapa, saya hilang minat untuk belajar.

“Ia memberi tamparan hebat kepada saya lantas menyalurkan kemarahan tersebut untuk membuatkan ibu bangga,” cerita Larry King ketika ditemu bual oleh The Guardian pada tahun 2015.

Bapalah yang banyak mempengaruhi Larry King terutama menanamkan sikap suka berjenaka.

Kerjaya Larry King dalam bidang media massa bermula pada tahun 1957 apabila menerima tawaran sebagai penyampai radio di WAHR-AM, Miami.

Pada ketika itulah dia mencipta nama sendiri kepada Larry King.

“Ketika bertugas di WAHR-AM, bos memberitahu bahawa saya tidak boleh menggunakan nama Larry Zeiger kerana orang sukar mengeja apatah lagi mengingatinya, maka perlu mencari sesuatu yang lebih baik.

“Tidak mempunyai waktu yang banyak untuk berfikir kerana saya perlu ke udara dalam masa lima minit, lantas saya memilih nama Larry King,” tulis Larry King dalam buku autobiografinya pada tahun 2009.

Larry King turut bertugas sebagai kolumnis di Miami Herald pada tahun 1965. Pada tahun 1978, Larry King melancarkan rancangan The Larry King Show di radio WIOD AM yang melonjakkan namanya sehingga memenangi anugerah Peabody pada tahun 1982.

Selepas itu, beliau mengembangkan sayap ke CNN pada tahun 1985 dengan mengendalikan Larry King Live selama 25 tahun.

LARRY King turut berpeluang menemu bual pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat pada 3 September 1993 di Washington D.C. – AFP

Larry King Live adalah platform penting yang membuatkan namanya bersinar dan dikenali serata dunia sehingga menjadi ikon bual bicara terkemuka.

Sementara itu, Presiden CNN, Jeff Zucker mengakui peranan Larry dalam meningkatkan profil jaringan saluran televisyen tersebut di seluruh dunia.

“Sikap ingin tahunya telah mendorong Larry King untuk memenangi pelbagai anugerah dalam kerjaya penyiaran dan ia juga didorong oleh kemurahan hatinya.

“Kami bangga selama 25 tahun beliau berkhidmat di CNN telah meletakkan saluran ini ke persada antarabangsa,” tuturnya.

Rancangan Larry King Live di CNN telah menyiarkan lebih 30,000 wawancara termasuk presiden-presiden Amerika Syarikat.

Pengaruh Larry King terbukti apabila ramai generasi baharu hos yang meniru sama ada secara sengaja atau tidak cara pendekatan dan percakapannya ketika menemu bual tetamu.

“Wawancara yang baik adalah anda perlu tahu lebih banyak sebelum memulakan temu bual itu.

“Anda harus bersedia bahawa kemungkinan besar pendapat akan berubah setelah menemu bual tetamu,” ujar Larry King kepada Los Angeles Times pada 2018.

Ulasnya lagi, anda perlu pandai menghiburkan tetamu supaya tetamu selesa untuk meneruskan wawancara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI