LIVERPOOL – Brighton nyata berada pada kelas tersendiri selepas mereka berjaya mencatat kemenangan 1-0 menewaskan Liverpool di Anfield pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.
Kejayaan itu membuatkan pengurusnya, Graham Potter tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan memuji aksi dipamerkan oleh para pemain apabila mencatat sejarah meraih kemenangan pertama di Anfield dalam tempoh 39 tahun.
Bagi Potter ia adalah kemenangan paling bermakna buat pasukan itu ketika ia juga menjadi kemenangan kedua berturut-turut diraih dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan liga apabila berada di kedudukan ke-15 setakat ini.
Kemenangan tersebut hadir menerusi jaringan tunggal perlawanan oleh Steven Alzate pada minit ke-56 yang cukup untuk memastikan mereka pulang dengan tiga mata penuh.
“Kami telah menunjukkan karakter sebenar pasukan ini. Kami bertahan dengan baik, kemudian melakukan serang untuk memberikan mereka tekanan.
“Saya sangat bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh para pemain. Kami sangat teruja dengan kemenangan ini. Persembahan kami lebih baik musim ini. Saya percaya kami akan meningkat sekiranya terus meraih kemenangan dan mendapat mata.
“Persembahan yang dipamerkan dalam dua perlawanan terakhir cukup mengujakan. Kami berdepan Tottenham Hotspur dan Liverpool, dua perlawanan yang sukar tetapi pemain telah memberikan segala-galanya.
“Ia bukan kebetulan, kami layak untuk memenanginya. Kami bukan turun untuk bertahan tetapi kami memiliki kualiti dan kesungguhan untuk mencari keputusan yang baik,” katanya. – AGENSI