fbpx

Kerajaan negeri sedia pusat kuarantin khas bagi pelajar SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy Wan Ismail berbual dan bertanya khabar menerusi interkom dengan pelajar SPM yang ditempatkan di KUIPSAS di Kuantan, Pahang hari ini. Foto: SHAIKH AHMAD RAZIF

KUANTAN – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini daripada keluarga yang positif Covid-19 akan ditempatkan di sebuah pusat kuarantin khas bagi menduduki peperiksaan yang dijadual bermula 22 Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, buat permulaan kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan pusat kuarantin di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini yang diaktifkan bermula semalam.

“Pusat ini diwujudkan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa dan berkesan.

“Ia khusus untuk pelajar yang bakal menduduki SPM bermula 22 Februari ini kerana kita mahu mereka fokus untuk belajar dalam suasana yang kondusif,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pusat kuarantin berkenaan di KUIPSAS di sini hari ini.

Pada kunjungan itu, Wan Rosdy turut mengambil kesempatan berbual dan bertanya khabar dengan pelajar yang ditempatkan di situ menerusi interkom.

Menurutnya, pusat itu diwujudkan susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah ini terutama membabitkan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Beliau memberitahu, buat permulaan seramai 19 pelajar ditempatkan di situ bermula semalam yang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh perempuan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, penempatan itu adalah berdasarkan keperluan prosedur operasi standard (SOP) termasuk dari segi penjarakan fizikal.

Beliau berkata, kesemua pelajar berkenaan disediakan internet untuk mereka mengikuti PdPR, serta makan dan minum secukupnya yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Telah ditetapkan, satu bilik bagi seorang pelajar, KUIPSAS menyediakan 200 bilik di sini.

“Saya telah minta supaya dipastikan kesemua mereka terus ditempatkan di sini sehingga habis menduduki SPM. Selepas didapati rumah mereka bersih dan bebas dari wabak Covid-19, baharulah mereka dibenarkan pulang. Kita tidak mahu di sini mereka negatif tapi dijangkiti apabila pulang ke rumah,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI