fbpx

Kena penjara, kompaun lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kerajaan akan bertindak lebih tegas termasuk mengenakan hukuman penjara kepada mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hukuman itu akan dilaksanakan selepas Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diluluskan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Beliau berkata, antara pindaan lain termasuk mengenakan kompaun lebih tinggi kepada pesalah berulang atau yang telah diberi amaran.
Ketika ini, kadar kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM1,000.

“Tindakan tatatertib ke atas penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan juga akan dikenakan.

“Selain itu, tindakan juga dikenakan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing membabitkan majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseora­ngan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas penjelasan pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pema­syuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 semalam.

Muhyiddin berkata, pindaan juga melibatkan tindakan ­perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan
pihak berkepentingan lain dalam rantai­an organisasi perniagaan.

Tambahnya, premis perniagaan yang melanggar SOP juga akan ditutup serta-merta.

“Sektor pembinaan, kilang-kilang dan tempat penginapan pekerja juga perlu mematuhi SOP kerana ia telah berlaku peningkatan 59 peratus jangkitan di situ,” katanya.

Ujar Muhyiddin, 19 peratus jangkitan lagi berlaku di pusat tahanan diikuti kediaman dengan 14 peratus dan rumah ibadat atau aktiviti keagamaan (lima peratus) dan masing-masing dua peratus kes import dan kumpulan berisiko.

“Sektor pengilangan merekodkan 128 kluster diikuti pembinaan (82) dan perkhidmatan (61) setakat kelmarin,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin memberi peringatatan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan atau SOP.

“Hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan dibenarkan ke pejabat supaya pergerakan orang ramai dapat dikurangkan dan pada masa sama ekonomi dan industri terus beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga dalam proses untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 bagi menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja.

“Penginapan yang sesak menjadi punca utama penularan dalam kalangan pekerja.

Majikan diwajibkan menyediakan tempat tinggal patuh SOP dan memantau pekerja asing sewaktu dan selepas bekerja
serta memastikan ejen menyediakan tempat tinggal menepati standard kesihatan awam,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Sumber Manusia akan menge­tuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa lebih besar dan menyeluruh.

“Selain itu, satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Pe­nguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan Kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI