fbpx

Ganas bukan lumrah individu sakit jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Acap kali kita dimomokkan de­ngan fahaman jauhi diri daripada orang sakit jiwa kerana kelakuan mereka sukar diramal dan cen­derung untuk bertindak ganas secara tiba-tiba tanpa diduga.

Netizen juga sering melabelkan kebanyakan pelaku jenayah kejam mempunyai sakit mental, namun tanpa disedari, fahaman sebegitu menunjukkan keseda­ran mengenai masalah sakit jiwa di negara ini masih lagi berada di tahap rendah.

Tindakan menjauhkan diri serta melabel orang sebegitu hanya akan membuatkan kea­daan bertambah teruk terutamanya di zaman penuh tekanan akibat penularan Covid-19 yang sedang kita lalui sekarang.

Sedar atau tidak, keadaan kehidupan kita ketika ini menjadi antara penyumbang kepada pe­ningkatan gangguan mental yang diakibatkan oleh kemurungan, depresi, kecelaruan minda dan pelbagai lagi gangguan.

Jika tidak diberi perhatian, ia boleh menjadi lebih parah.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, sudah menjadi kebiasaan netizen mengaitkan kejadian keganasan dengan mereka yang mengalami sakit mental.

“Walhal perkara itu adalah tidak benar sehingga mengakibatkan mereka yang mengalaminya takut untuk mendapatkan rawatan daripada pakar atau di­diagnosis kerana bimbang dilabel sedemikian.

“Penyakit mental itu sendiri ada pelbagai jenis dan peringkat, jadi penting untuk kita mendapatkan pengesahan diagnosis lengkap terlebih dahulu sebelum mereka boleh dilabelkan sebagai pesakit mental.

“Bersifat ganas serta bertindak di luar kawalan juga sebenarnya bukanlah lumrah bagi mereka yang mengalami penyakit mental dan hanya melibatkan segelintir pesakit yang mengalami gangguan tertentu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Hazli memberitahu, pesakit yang mengalami Schizophrenia contohnya akan berhalusinasi, dan mendengar suara tanpa punca, malah mungkin bertindak di luar kawalan.

Bagaimanapun, semua kejadian itu berlaku ketika situasi tersebut terjadi sahaja dan bukanlah berlaku setiap masa.

“Ia bukanlah bersifat kekal kerana boleh diatasi sekiranya pesakit mendapatkan rawatan berkesan. Kebanyakan pesakit yang saya temui rata-rata mereka adalah jenis yang lebih suka menyendiri serta tidaklah bersifat agresif seperti yang dimomokkan netizen.

“Kita perlu menambahkan kesedaran mengenai penyakit mental dan kita sepatutnya memberikan kata-kata semangat, juga dorongan, bukannya melabel serta menyisihkan mereka,” ujar beliau.

Menurut Hazli, adalah tidak adil untuk kaitkan semua kejadian keganasan atau perlakuan jenayah dengan pesakit mental kerana boleh mengakibatkan salah faham sehingga golongan tersebut sentiasa dipandang serong.

“Berhadapan dengan mereka yang mengalami gangguan mental ini adalah perkara yang asing bagi sesetengah individu.

“Justeru, tambahkan penge­tahuan dan tingkatkan keseda­ran agar tiada lagi pandangan serong atau tohmahan dilemparkan kepada pesakit mental yang sebenarnya memerlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat di sekeliling.

“Di waktu mencabar ketika rakyat berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa menyebarkan perkara-perkara positif dan bertanya khabar individu yang menunjukkan tanda-tanda depresi agar mereka tidak rasa keseorangan dan ada tempat untuk berpaut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI