PERJALANAN bekas pemain tengah Harimau Malaya, Junior Eldstal di bumi Thailand bermula langkah kanan apabila diberikan peluang membuat debut bersama Chonburi FC ketika menewaskan Suphanburi 3-0 pada aksi Piala FA Thailand kelmarin.
Walaupun tidak memahat nama selaku penjaring atau mencipta umpanan jaringan, namun kemasukan Eldstal, 29, sedikit sebanyak membantu Chonburi mencatat kemenangan hasil gol-gol daripada Eliandro, Channarong Promsrikaew dan Settawut Wongsai.
Ia adalah penampilan pertama cukup istimewa buat pemain berdarah kacukan Malaysia dan Sweden itu yang kini menjadi individu Malaysia kelima beraksi pada saingan utama Thailand sejak lima tahun lalu.
Selain Eldstal, seorang lagi tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dominic Tan kini masih aktif beraksi dengan Police Tero FC sejak menyertai pasukan itu dua tahun lalu.
Tiga lagi pemain negara pernah beraksi di Thailand ialah penyerang Selangor FC musim ini, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang menyertai Nakhon Ratchasima, Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) dan Mohamadou Sumareh (Police Tero).
Ia sekali gus memberi bayangan Eldstal semakin serius dan tidak mengambil masa lama untuk kembali ke tahap terbaiknya seperti ketika memenangi sembilan trofi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dari 2015 hingga 2018.
Antara pencapaiannya bersama JDT ialah tiga kali menjuarai Liga Super, tiga kejuaraan Piala Sumbangsih, satu Piala FA, satu Piala Malaysia dan satu Piala AFC pada 2015.
Jika Eldstal dapat beraksi pada tahap terbaik di Thailand, ia boleh menjadi berita gembira buat skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas ini.
Sebagai rekod, Eldstal yang pernah menyarung jersi Sarawak dari 2013 hingga 2014, menyertai Chonburi awal bulan lepas daripada kelab Metropolitan Police FC yang berpangkalan di England.