GRANADA, Sepanyol – Barcelona membuktikan status sebenar mereka apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat kemenangan 5-3 ke atas Granada pada aksi suku akhir Piala Raja Sepanyol di Estadio Los Carmenes awal pagi semalam.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah apabila The Catalan terpaksa mengharungi 120 minit permainan selepas aksi diheret ke tambahan masa sebelum mengesahkan tempat mereka di pentas separuh akhir musim ini.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman gembira dengan semangat melawan ditunjukkan anak-anak buahnya dan berharap kemenangan itu mampu menjadi titik kebangkitan mereka dalam saingan La Liga pula selepas ini.
“Mentaliti pemain tidak terjejas meskipun ketinggalan dua gol dalam perlawanan ini. Mungkin ini petanda yang akan mengubah nasib kami musim ini dan saya sangat berbangga dengan apa ditunjukkan pemain hari ini,” katanya.
Lebih mendebarkan apabila Barcelona terpaksa menunggu sehingga hujung permainan untuk meledak dua gol melalui Antoine Griezmann dan Jordi Alba pada minit ke-88 serta 92 bagi menyamakan kedudukan 2-2 dengan Granada.
Prestasi para pemain Barcelona dilihat lebih bertenaga apabila berjaya menambah tiga lagi gol dalam tambahan masa permainan, sekali lagi menerusi Griezmann pada minit ke-100, Frenkie De Jong (m-108) dan Alba (m-113).
Biarpun Granada mendapat gol ketiga menerusi sepakan penalti Fede Vico pada minit ke-100, namun ia tidak membawa apa-apa makna kepada tuan rumah apabila akur tewas juga kepada Barcelona yang mendominasi keseluruhan perlawanan tersebut.
Kejayaan melangkah ke pentas separuh akhir kembali membuka peluang buat Barcelona memburu kejuaraan Piala Raja Sepanyol yang kali terakhir memenangi gelaran tersebut pada edisi 2017/2018. – AGENSI