SHAH ALAM – Yang Dipertua Pertubuhan Pencegahan Jenayah dan Dadah Malaysia (PDJM) antara dua individu akan didakwa di Mahkamah Kajang pagi esok atas dua pertuduhan termasuk berpakaian seragam menyerupai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, arahan pertuduhan itu telah diperoleh daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan yang diserahkan pihaknya, semalam.
“Arahan pertuduhan ke atas dua individu itu dibuat mengikut Seksyen 89 (c) Akta Polis dan Seksyen 90 Akta sama dan dibaca bersama dibawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan kedua pula dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang Dan Nama 1963 (Penalti),” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.
Kata beliau, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebelum ini menahan tiga suspek di sekitar Kajang pada 29 Januari lalu pukul 11 malam.
Kosmo! pada 31 Januari lalu melaporkan tindakan seorang lelaki dari sebuah pertubuhan melakukan tugasan rondaan dengan mengenakan seragam seperti anggota PDRM akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis. -K!ONLINE