IPOH – Hasrat seorang wanita warga emas untuk menghadiahkan wang tunai RM4,000 kepada dua orang cucunya yang baru dilahirkan tidak kesampaian apabila beg tangannya diragut seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua di sini Isnin lalu.
Kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan terhadap mangsa yang berusia 73 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang membonceng motosikal bersama suaminya untuk ke kedai berhampiran ketika kejadian berlaku.
“Tiba di lokasi kejadian, mereka berdua dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda sebelum suspek bertindak meragut beg tangan mangsa.
“Mangsa dan suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut namun wang tunai berjumlah RM4,000 yang berada di dalam beg tangan tersebut dilarikan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah A. Asmadi, menurut mangsa, duit berkenaan dikeluarkannya dari sebuah bank pada minggu lalu untuk dihadiahkan kepada dua cucunya yang baru dilahirkan.
“Kejadian berlaku dengan pantas dan mangsa serta suaminya tidak dapat mengecam suspek yang memakai helmet bertutup penuh dan dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun.
“Polis kini sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Inspektor Muazzammar Mohd. Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-245 1500 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan harta khususnya selepas berususan di bank.
“Kita percaya penjenayah akan mengintip pergerakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu,” katanya.-K!ONLINE