fbpx

Tommy langgar sumpah – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

PETALING JAYA – Tindakan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang membuat rujukan dan komen mengenai pelbagai isu negara sepanjang memegang jawatan itu dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness” disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai bekas Peguam Negara, Thomas bertanggungjawab menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa walaupun jawatan itu tidak lagi disandangnya.

“Adalah menjadi teras utama dalam jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperoleh mana-mana pegawai diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’ atau ‘Sulit, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan ‘pelaris’ buku yang mengetengahkan pandangan dan bukan fakta.

“Memoir itu sendiri menggambarkan Thomas sebagai seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid mendakwa, pandangan dan kenyataan Thomas mengenai peristiwa 13 Mei 1969 dalam bukunya adalah tidak bertanggungjawab dan dibuat tanpa mengira sensitiviti peristiwa itu kepada masyarakat negara ini, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Selain itu, Thomas bukan saja didakwa memperlekeh Timbalan Pendakwa Raya, malah seluruh Jabatan Peguam Negara yang pernah diterajuinya, sekali gus boleh mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap keupayaan serta kebolehan pegawai jabatan berkenaan.

“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan dan faedah pencen adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutama apabila ia datang daripada Ketua Jabatan itu,”katanya.

Beliau berkata, buku itu juga menyentuh mengenai keputusan yang dibuat Thomas ketika menjadi Peguam Negara, antaranya kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Keputusannya dalam kes LTTE hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa LTTE sudah tidak aktif sejak 2009. LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun Keseksaan.

“Selain itu, keputusan Thomas untuk tidak menuduh sesiapa dalam kes Adib juga didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib disebabkan oleh dua orang atau lebih.

“Justeru, saya menyeru rakyat tidak terpengaruh kepada penulisan bersifat pandangan oleh Thomas ini,” katanya. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI