fbpx

Syed Saddiq gagal cabar ROS tolak pendaftaran MUDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu gagal dalam permohonan mereka memperoleh kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menolak permohonan MUDA didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Syed Saddiq serta 12 individu itu.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata mahkamah mendapati bahawa pemohon gagal mematuhi peruntukan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 susulan permohonan mereka untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik ditolak ROS.

“Mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pemohon dengan kos RM2,000,” katanya ketika dihubungi di sini.

Keputusan permohonan itu dibuat di hadapan Mariana menerusi aplikasi Zoom.

Pada 25 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan tersebut atas alasan permohonan adalah pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu pemohon tidak merayu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlebih dahulu sebelum memfailkan semakan kehakiman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan dan MUDA mempunyai tempoh 30 hari bermula 6 Januari untuk mengemukakan rayuannya.

Pada 12 Januari lalu, MUDA telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Selain itu mereka turut memohon perintah untuk membatalkan keputusan jabatan pendaftaran itu yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman berkata pihaknya menerima surat daripada ROS pada 6 Januari lalu yang menyatakan bahawa permohonan MUDA tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966.

Permohonan itu kemudian ditolak mengikut Seksyen 7 (3) (e) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, terdapat kelalaian (omission) dari pihak ROS untuk menjelaskan secara terperinci perenggan kecil atau peruntukan mana di bawah Jadual Pertama yang tidak dipatuhi oleh MUDA.

Penaja-penaja MUDA tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI