PETALING JAYA – Lagu terbaharu nyanyian Amira Othman berjudul Surat Akhir berjaya meruntun jiwa netizen apabila rata-rata mereka mengakui menangis selepas mendengar lagu tersebut.
Mereka menyifatkan lirik lagu berkenaan begitu dekat dengan kisah malang yang menimpa seorang kanak-kanak dipanggil Adik yang meninggal dunia dipercayai didera ibu bapanya.
Melihat kepada reaksi positif itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 28, melahirkan rasa syukur lagu tersebut berjaya menembusi jiwa para pendengar.
“Alhamdulillah, macam-macam respons positif yang saya terima daripada ramai pihak. Saya sendiri pun tidak sangka lagu tersebut tular dan mendapat perhatian netizen.
“Mungkin ia sangat dekat dengan kisah Adik dan secara tidak langsung membuatkan netizen menangis serta mengaitkan dengan kejadian malang itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bercerita lanjut, pelantun lagu Hati-Hati itu memberitahu, dia sangat menyukai mesej tersirat dalam lirik lagu yang turut menjadi runut bunyi drama Marry Me Senorita lakonan Janna Nick dan Dini Azan Schatzmann.
“Memang ada maksud tersirat di sebalik lagu indah ini. Surat Akhir ibarat wasiat terakhir sebelum kita semua pergi melangkah meninggalkan dunia yang fana ini.
“Lagu ini ditujukan khas untuk orang yang tersayang kerana kita semua tahu, semua makhluk di muka bumi akan ‘pergi’ juga satu hari nanti.
“Itulah yang cuba diketengahkan dalam lagu ini dan syukur mesejnya sampai hingga ramai yang terkesan,” ujarnya
Amira dalam pada itu berharap lagu berkenaan mendapat tempat tersendiri di dalam industri dan diterima semua memandangkan sudah lebih dua tahun dia tidak keluarkan single.
“Mudah-mudahan ada rezeki yang luas buat lagu Surat Akhir sentuhan komposer Syafiq Khan ini dan harap peminat serta pendengar dapat terus menyokong karya seni saya,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Abang Bomba I Love You itu, Surat Akhir sepatutnya dilancarkan hari ini tetapi dipercepatkan sehari kerana tidak sabar untuk memperdengarkannya kepada umum.
Terdahulu, lagu tersebut mendapat pujian ramai termasuk daripada rakan artis antaranya Ernie Zakri dan Michael Ang.
“Saya menangis dengar lagu ini. Selamat maju jaya Amirah,” tulis Ernie dalam Twitternya.
Manakala, Michael pula menyifatkan lagu tersebut sangat sedap sehingga menjadikan Surat Akhir sebagai runut bunyi Marry Me Senorita.
“Sedap atau tidak lagu ini? Saya sangat sukakannya sebab itu saya jadikan lagu tema drama Marry Me Senorita,” katanya.
Malah, netizen turut memuji lagu tersebut mempunyai lirik yang sangat bagus dan mesejnya sangat menyentuh jiwa.
“Sedih, bait-bait liriknya menusuk ke dalam hati,” katanya.