MEMULAKAN kerjaya dengan menyertai pertandingan mencungkil bakat, Dewi Remaja pada 2014, Puteri Aishah mulanya langsung tidak menyangka akan akan terjun ke dunia lakonan hingga ke saat ini.
Biarpun impian bergelar juara tidak kesampaian, bakat lakonan Puteri Aishah mula dikesan dan digilap seiring pakej lengkap anugerah Tuhan buat dirinya.
Bermula dengan naskhah perdana berjudul Akulah Balqis sekitar 2015, kepercayaan yang diberi sutradara hebat Erma Fatima digenggam sebaik-baiknya, sekali gus membuktikan bakat terpendam dalam diri.
Cemerlang dengan watak sampingan sebagai Jenny menerusi naskhah tersebut, Puteri Aishah sekali lagi diberi kepercayaan menjayakan watak utama menerusi drama Cinta Roller Coaster bergandingan bersama hero, Syazwan Zulkifly.
“Alhamdulillah bakat lakonan saya mula dipercayai dan dari situ saya mula menjadikan dunia lakonan sebagai punca pencarian.
“Dari situ jugalah saya mula mencabar diri membawakan pelbagai watak dalam apa jua naskhah yang ditawarkan,” katanya ketika membuka bicara bersama HibGlam.
Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga, paling bermakna sepanjang hampir tujuh tahun bergelar anak seni apabila saat pertama kali ditawarkan membintangi filem sarat penuh emosi perdananya, Pulang arahan Kabir Bhatia.
Menerusi watak utama sebagai Che Thom bergandingan dengan Remy Ishak, Puteri Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 27, menyatakan watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai satu tugas berat dan serius.
“Jujur saya katakan, untuk membawa dan mendalami watak Che Thom bukan satu perkara yang mudah. Karakternya amat berat kerana bermain dengan emosi yang meruntun jiwa. Bukan sahaja emosi luaran tetapi juga dalaman.
“Berkat pertolongan daripada rakan-rakan artis, sutradara dan kru produksi yang banyak membantu, alhamdulillah saya dapat jayakan watak tersebut dengan sehabis baik,” ujarnya.
Bercerita lanjut, pemegang Diploma Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan bekas guru pelatih itu memberitahu, dia baharu tamat menjalani penggambaran drama kontroversi terbaharunya berjudul Rahimah Tanpa Rahim.
Sensitif
Ditebak mengenai judul yang dilihat sensasi dan sensitif bagi sesetengah pihak, Puteri Aishah yang diberi tanggungjawab menggalas watak utama selaku Rahimah, tidak menafikan perkara tersebut wujud dan ia secara tidak langsung turut mempengaruhi kehidupan peribadinya.
“Memang pada awal lagi, judul drama ini dilihat sedikit mencetuskan kontroversi dan persoalan dalam kalangan netizen.
“Banyak mesej peribadi yang saya terima menerusi Instagram bertanyakan hal ini.
“Ada juga pihak dan netizen yang mempersoalkan aspek sensitiviti naskhah yang ingin dipertontonkan dan apa mesej sebenar yang ingin disampaikan kepada audiens.
“Bagi saya, Rahimah Tanpa Rahim bukanlah 100 peratus berkisar tentang wanita yang dilahirkan tanpa rahim, tetapi lebih kepada konflik kehidupan yang berlaku dalam diri Rahimah sejak dilahirkan,” tuturnya.
Akui anak kedua daripada empat beradik itu, bukan satu perkara mudah dan ringan untuk membawakan watak sebegitu ditambah dengan tiada pengalaman atau mengenali wanita tanpa rahim.
Baginya, sepanjang lebih daripada setengah dekad bergelar pelakon, itulah naskhah dan watak paling berat pernah dibawakannya.
“Jujur semasa awal-awal mendapat skrip untuk watak Rahimah, macam-macam perasaan datang secara tiba-tiba. Saya sendiri jadi kekok dan tidak tahu apa nak respons.
“Sebelum ini memang langsung tidak pernah dengar tentang penyakit ini. Tidak pernah terfikir satu hari akan dapat watak seperti ini untuk dijayakan.
“Banyak perkara yang perlu saya selami dan belajar bagi menjayakan watak Rahimah. Jujur saya katakan, berbulan-bulan jugalah saya dirundung dan dicengkam emosi bagi menjiwai watak tersebut,” ungkapnya.
Paling berat
Tambah Puteri Aishah, dia amat berterima kasih kepada penulis kreatif merangkap pengasas Kumpulan Sokongan Mayer Rokitansky Kuster Hauser Malaysia (MRKH), Wani Ardy yang juga merupakan seorang penghidap sindrom tersebut.
“Jujur saya banyak belajar bagaimana untuk membawakan watak dan mendalami perasaan serta emosi bergelar seorang wanita yang dilahirkan tanpa rahim, sekali gus tidak boleh melahirkan zuriat.
“Atas bantuan Wani Ardy jugalah saya kuatkan semangat untuk terus belajar menjiwai watak yang saya tidak pernah fikirkan sebelum ini.
“Secara tidak langsung, drama ini juga dapat mengetengahkan dan mengutarakan isu sindrom MRKH yang dialami segelintir golongan wanita di negara ini tanpa kita disedari,” ujarnya yang memberitahu terdapat 200 ahli berdaftar menerusi pertubuhan bawah kendalian Wani Ardy.
Tambah aktres yang tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Harapan menerusi Festival Filem Malaysia ke-30 dua tahun lalu itu, mesej paling utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah kesedaran dan bimbingan semangat berterusan yang perlu diberikan kepada golongan MRKH.
Rahimah Tanpa Rahim sebanyak 28 episod yang bersiaran menerusi slot Akasia saluran TV3 bermula 22 Januari lalu membawa kelainan daripada drama-drama kekeluargaan lain yang pernah ditonton sebelum ini.
Tergendala
Tutup cerita mengenai drama bersiri arahan Eoon Shuhaini tersebut, Puteri Aishah diaju pula dengan soalan berkaitan perkembangan terkini kerjaya seninya bagi tahun yang penuh dengan cabaran ini.
Akuinya, sudah lama dia tidak masuk ke set penggambaran dan yang terakhir sekitar tiga bulan lalu bagi naskhah terbaharunya itu.
“Sepatutnya, saya ada satu lagi penggambaran bagi sebuah telefilem berjudul Takdir Yang Tertunda berkisarkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Menerusi telefilem Takdir Yang Tertunda itu, saya dipertanggungjawabkan membawa watak seorang isteri dan mempunyai sebuah keluarga berstatus sederhana yang memaparkan survival meneruskan hidup ketika negara dilanda pandemik,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, penggambaran yang sepatutnya dijalankan di Pulau Pinang itu terpaksa ditangguh dan ditunda ke satu tarikh yang belum ditentukan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebelum menutup bicara, Puteri Aisyah yang sedang mengenali hati budi seorang jejaka bukan daripada kalangan anak seni itu sempat bercakap tentang perancangan masa hadapannya. Jika segala perancangan yang diatur diizinkan, dia akan melancarkan perniagaan berasaskan makanan dan penjagaan kulit wajah bawah labelnya sendiri tidak lama lagi.