PENYANYI Sowon daripada kumpulan GFRIEND mencetuskan kontroversi apabila memuat naik sekeping gambarnya bersama sebuah patung yang memakai pakaian tentera Nazi.
Sowon melakukan perkara berkenaan pada 31 Januari lalu sebelum bertindak memadam foto tersebut sehari selepas dimuat naik.
Tampil ke depan berkenaan kontroversi melibatkan artis mereka, agensi Souce Music memohon maaf bagi pihak Sowon kerana menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan peminat.
“November tahun lalu, sebuah syarikat produksi luar menyewa kafe di Paju untuk menjalankan penggambaran video bagi album baharu mereka.
“Bagaimanapun, kami terlepas pandang apabila gambar tersebut dikongsikan Sowon dalam media sosialnya.
“Kami mohon maaf kerana tidak cakna dengan isu sensitif sebegini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Tambah agensi itu lagi, Sowon sendiri terkejut apabila menyedari gambar berkenaan mengandungi kandungan sensitif dan berasa bersalah kerana tidak memeriksanya sebelum berkongsi kepada umum.
“Kami akan lebih berjaga-jaga sebelum berkongsi kandungan terutama yang melibatkan isu sosial seperti ini,” ujarnya.