ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 135 kilogram (kg) bunga melur yang cuba dibawa masuk tanpa permit import di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, semalam.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman memberitahu, bunga melur yang bernilai RM 324 berkenaan dipercayai berasal dari Indonesia dan cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Singapura.
Jelasnya, barangan terbabit dikesan dalam lapan kotak berasingan.
“Ketika penguatkuasa Maqis sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah van di laluan kenderaan import pada pukul 3 petang, mereka menemui sejumlah bunga melur bernilai RM324.
“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati barangan itu cuba dibawa masuk tanpa permit import daripada Maqis sebelum ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nur Afifah lagi, pemandu van terbabit yang berusia 28 tahun telah dilepaskan selepas keterangannya diambil.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat permit import Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Nur Afifah turut memaklumkan pihaknya akan terus menguatkuasakan pemeriksaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, haiwan dan perikanan yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan ditetapkan.-K! ONLINE