KOTA BHARU – Taktik licik dua beranak yang menyembunyikan tiga jenis dadah bernilai RM112,000 di kawasan semak berhampiran rumah mereka Kampung Gual Ipoh dekat Tanah Merah terbongkar dalam serbuan pihak polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komsioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, lelaki berusia 18 tahun dan bapanya berusia 60 tahun itu dicekup selepas anggota polis menahan tiga lelaki yang didapati memiliki 800 biji pil kuda bernilai RM8,000 di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah.
Katanya, selepas menjalankan soal siasat terhadap tiga individu berusia 22 hingga 28 tahun itu pada pukul 3.45 petang, mereka telah memaklumkan bahawa dua beranak itu ada menyimpan bekalan dadah.
Ujarnya, polis telah menjalankan serbuan di rumah tersebut 45 minit kemudian, namun tidak menjumpai sebarang bahan yang menyalahi undang-undang dan hanya menemui wang tunai RM829.
“Selepas menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka, suspek akhirnya menunjukkan dadah yang disembunyikan di kawasan semak di hadapan rumah mereka.
“Pemeriksaan di kawasan semak itu membawa kepada penemuan sebanyak 5,000 biji pil kuda, 26 botol disyaki mengandungi heroin seberat 104 gram dan syabu seberat 100 gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Menurut Sheik Azhar, polis turut merampas sebuah kereta jenis BMW 630i, Perodua Myvi, Proton Satria dan tiga jenis jenis Yamaha N Max 155, Yamaha Ego Avantiz serta Honda EX5 dengan semuanya dianggarkan bernilai lebih RM193,00.
Katanya, siasatan mendapati, dua beranak itu dipercayai hidup mewah meskipun lelaki berusia 60 tahun hanya bekerja sebagai penjual besi buruk manakala anaknya seorang penganggur.-K! ONLINE