PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut membentangkan cadangan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya melibatkan aktiviti sukan outdoor, gim dalam kawasan kejiranan yang tidak melibatkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP latihan atlet secara quarantine-based approach serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak (MFL), liga hoki (MHL) dan liga takraw (STL) juga telah dibentangkan oleh KBS mengikut model gelembung sukan (Sports Bubble).
“Kita juga mendengar pembentangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung cadangan pembukaan beberapa sektor peruncitan.
“Walaubagaimanapun, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan perkara ini terlebih dahulu berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang dibuat berdasarkan data-data terkini sebelum mengumumkan sebarang keputusan,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.