fbpx

Jual sate harga 50 sen secucuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAILANI dan Norlela masih mampu mengekalkan harga 50 sen untuk secucuk sate yang dijual di tepi jalan di Pekan Nyalas, Melaka semalam.

JASIN – Ketika peniaga-peniaga lain memilih untuk menaikkan harga jualan bagi menampung kos operasi, sepasang suami isteri di sini memilih untuk menjual secucuk sate pada harga 50 sen sebatang untuk dinikmati penduduk setempat.

Menurut Norlela Abu Bakar, 48, harga itu dirasakan berpatutan kerana dia dan suaminya, Jailani Md. Noor, 63, hanya menjalankan perniagaan di tepi jalan serta pasar malam dengan kos sewaan tapak yang rendah.

Katanya, walaupun kos bekalan ayam sedikit mahal, namun mereka cuba mengekalkan harga sate itu dengan meningkatkan jumlah penjualan bagi memperoleh keuntungan yang setimpal.

“Kami telah berniaga sate hampir 30 tahun, setakat ini harga 50 sen ini dilihat berpatutan, walaupun kos bekalan ayam kadang-kala mahal tetapi tak mengapalah, kami masih jual pada harga 50 sen secucuk, masih ada rezekinya.

“Jumlah cucuk sate yang kami jual berbeza mengikut lokasi, kalau di pekan Nyalas ini kami sediakan kira-kira 600 cucuk, manakala di pekan Jasin antara 1,500 sehingga 1,800,” katanya ketika ditemui di pekan Nyalas di sini semalam.

Antara sate ditawarkan adalah sate ayam, daging, hati, perut dan sate limau purut yang dipe­rap menggunakan daun limau.

Ujarnya, dia dan suaminya menjual sate tersebut di beberapa lokasi mengikut hari, terma­suk di daerah Alor Gajah.

“Pada hari Isnin dan Sabtu kami akan berniaga di Bukit Rokan, Gemencheh; Rabu di Durian Tunggal dan Jumaat di pasar malam di pekan Jasin berhampiran kedai pekakasan rumah Mr. DIY.

“Kami mula berniaga pada pukul 2.30 petang sehinggalah sate habis terjual, namun sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kami berniaga di pekan Nyalas ini sahaja,” katanya.

Tambah Norela, pihaknya juga sedia menerima tempahan untuk semua majlis. Orang ramai yang berminat boleh menghubunginya di talian 011-23071523 dan 017-3577516.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI