TAMPIL dengan buah tangan terbaharu berjudul I’m Not Cool selepas berehat akibat mengalami masalah kesihatan, penyanyi HyunA tidak menyangka sama sekali kemunculan semulanya mendapat sambutan luar biasa.
Menceritakan lanjut tentang pembikinan lagu tersebut, HyunA mendedahkan bahawa penyanyi dan komposer PSY yang merupakan ketua agensinya banyak membantu dari segi perkongsian idea.
“Dia seorang yang sudi mendengar hampir semua pendapat saya dan mengambil pendapat terbaik untuk digunakan dalam lagu ini,” katanya.
Disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya, penyanyi berusia 31 tahun itu mengakui dia kini sangat menjaga tubuh badannya dengan banyak mengambil gula bagi mengelakkan berat badannya susut.
Bagaimanapun, koreografi tarian lagu I’m Not Cool disifatkan HyunA sebagai satu bentuk senaman dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
“Tarian ini ibarat senaman satu badan, jadi berat badan saya turun dengan banyak,” ujar kekasih kepada penyanyi Dawn itu.
Koreografi tersebut ada kisah menarik kerana dikatakan sama dengan tarian dalam siri kartun popular Crayon Shin-chan.