fbpx

Edar ganja guna treler essential services

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarulzaman (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dari sebuah treler perkhidmatan perlu digunakan sindiket dadah. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah menggunakan sebuah treler dalam perkhidmatan perlu (essential services) terbongkar apabila ditahan di tepi jalan Taman Perindustrian Subang Jaya di sini, Isnin lalu.

Penahanan treler dari utara Semenanjung Malaysia itu dilakukan pukul 6.15 pagi dengan menahan dua suspek termasuk pemandu warga Kemboja berstatus penduduk tetap.

Turut ditahan adalah tiga ahli sindiket itu dalam tempoh 40 minit di Senawang, Negeri Sembilan serta Pantai Dalam dan Desa Petaling di Kuala Lumpur. Kesemua suspek diberkas berusia 35 hingga 43 tahun.

Timbalan Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta / Perundangan / Tahanan) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang telah beroperasi sejak pertengahan tahun lalu itu mengambil kesempatan kelonggaran menggunakan treler perkhidmatan perlu bagi mengedar dadah mereka.

Katanya, kesemua 150 ketul mampatan dadah jenis ganja seberat 149.23 kilogram itu adalah untuk pasaran Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung Malaysia.

“Mereka didapati menyembunyikan kesemua ganja dianggarkan RM373,075 bersama barang-barang kegunaan lain di treler itu.

“Dalam serbuan pertama di Subang Jaya itu didapati dua suspek termasuk pemandu treler itu sedang memunggah ganja tersebut untuk dipindahkan ke dalam sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, polis turut merampas wang tunai RM51,500, empat buah kenderaan dan sebuah motosikal jenis Y15 yang kesemuanya bernilai RM500,000.

Kamarulzaman menambah, semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah seperti mencuri dan menyamar sebagai polis serta dadah.

Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati kesemua suspek adalah negatif.

“Mereka kini direman selama tujuh dan lapan hari dengan siasatan masih dijalankan terhadap upah diterima lelaki warga Kemboja bagi penghantaran dadah itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI