PETALING JAYA – Selepas hampir dua minggu diserang alahan serius, penyampai popular radio Suria FM, DJ Lin akhirnya dimasukkan ke hospital.
Menerusi satu entri yang dimuat naik dalam Instagram, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 46, masalah alahan yang dialami semakin teruk dan terpaksa dirujuk ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
“Keadaan terkini DJ Lin dek penangan masalah alergik (alahan). Pagi ni teruk sebab makin banyak alahan yang keluar satu badan hingga saluran pernafasan mula sempit dan sukar bernafas.
“Doktor terpaksa gunakan alat bantuan pernafasan (oksigen). Doakan DJ Lin,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata rakan artis dan pendengar setia segmen Suria Cinta yang dikendalikan DJ Lin mendoakan agar beliau segera sembuh dan dapat bersiaran seperti biasa.
Terdahulu pada entri yang dimuat naiknya beberapa hari lalu, penyandang trofi Penyampai Radio Popular dua kali berturut-turut Anugerah Bintang Popular ke-32 dan 33 itu memaklumkan sudah mengambil ubat-ubatan seperti disarankan, namun masih belum berkesan.
DJ Lin turut berterima kasih kepada semua pendengar Suria Cinta yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya serta meninggalkan mesej peribadi bertanyakan tahap kesihatannya selain berkongsi tip mengatasi masalah alahan pada kulit.
DJ Lin mengendalikan segmen Suria Cinta sejak 2006 yang bersiaran dan menemui pendengar setiap hari Ahad hingga Jumaat dari pukul 8 malam hingga 1 pagi. – K! ONLINE