CYBERJAYA – Seorang lelaki Myanmar ditahan selepas disyaki mencabul seorang wanita dalam kejadian di Taman Tasik Komuniti Cyberjaya di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, mangsa yang juga seorang suri rumah berusia 35 tahun sedang berjalan kaki di taman tersebut bersama rakannya.
“Mereka diganggu suspek dan kemudian, lelaki itu telah memegang punggung menyebabkan wanita itu terus memarahinya. Dalam masa sama, orang awam juga datang membantu mangsa dengan memegang suspek.
“Susulan itu, mangsa menghubungi 999 dan apabila polis sampai, pengadu menyerahkan lelaki itu kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, video lelaki tersebut ditahan orang ramai turut dikongsikan menerui Twitter akaun Cyberjaya Info.
Segelintir pengguna Twitter turut mendakwa terserempak dengan warga asing tersebut di taman itu malah, ada pemilik akaun mendakwa, suspek mengejarnya sambil menjerit sewaktu dia beriadah di situ.
Selain itu, ada juga pengguna Twitter yang lain mendakwa ternampak warga asing itu menjerit di jambatan di taman tersebut selain merasakan lelaki itu kelihatan pelik. -K!ONLINE