LONDON – Pemain sayap Chelsea, Christian Pulisic percaya pasukan itu semakin selesa berada di bawah kendalian pengurus baharu, Thomas Tuchel yang menggantikan Frank Lampard.
Bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) itu mengharungi permulaan positif bersama The Blues dalam dua perlawanan awal apabila mencatat satu kemenangan dan satu seri.
Justeru, Pulisic melaungkan keyakinan mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada Tottenham Hotspur menjelang aksi liga di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
“Bagi saya, pertemuan menentang Spurs datang tepat pada waktunya kerana kami berada pada prestasi terbaik ketika ini. Saya harap kami boleh teruskan aksi cemerlang.
“Kami sangat yakin dan teruja untuk bermain pada perlawanan itu. Chelsea perlu jadikan perlawanan tersebut sebagai kebangkitan, lebih-lebih lagi bertemu pasukan hebat seperti Spurs,” kata Pulisic.
Pulisic yang pernah bermain di bawah bimbingan Tuchel ketika menyarung jersi Borussia Dortmund mengakui pengendali dari Jerman itu membawa pembaharuan buat The Blues dari segi taktikal yang lebih ampuh dan berkesan.
“Setakat ini kami sangat selesa berada di bawah beliau. Beliau sudah melakukan pembaharuan kepada pasukan dan saya anggap ia sebagai permulaan positif buatnya,” ujarnya. – AGENSI