PUTRAJAYA – Kerajaan sedang dalam proses meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 bagi tujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berikutan tempat penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi standard dikenal pasti menjadi antara punca utama penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di negara ini.
“Antara tindakan lebih tegas termasuklah mewajibkan majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard ditetapkan dan menanggung kos penginapan, perpindahan serta kos saringan kesihatan pekerja.
“Selain itu, majikan diwajibkan melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal serta memastikan agen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas penjelasan pelaksanaan proklamasi darurat dan pemasyuran ordinan darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta 446.
Sehingga 3 Februari lalu, sektor pengilangan merekodkan jumlah kluster Covid-19 yang tertinggi iaitu 128 kluster, diikuti oleh sektor pembinaan (82 kluster) dan sektor perkhidmatan (61 kluster). -K! ONLINE