ANTAKYA, Turki – Bekas bintang buangan Arsenal, Mesut Ozil teruja apabila kembali bermain aksi kompetitif selepas membuat debut bersama Fenerbahce dalam kemenangan 2-1 ke atas Hatayspor pada aksi Liga Super Turki awal pagi semalam.
Ozil, 32, yang menandatangani kontrak tiga tahun setengah dengan gergasi Turki itu, dibawa masuk menggantikan penjaring gol pertama Fenerbahce, Mame Baba Thiam pada minit ke-77 di Stadium Antakya Ataturk tersebut.
Ia adalah perlawanan kompetitif pertama buat bekas perancang tengah Jerman itu yang kali terakhir turun beraksi di atas padang bersama Arsenal pada Mac tahun lepas.
Kepercayaan pengendali Fenerbahce, Erol Bulut membawa masuk Ozil berbaloi apabila dia menjadi penggerak kepada gol kedua pasukannya yang diperoleh hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Hatayspor, Jean-Claude Billong pada minit ke-88.
Meskipun Hatayspor berjaya merapatkan jurang menerusi Aaron Boupendza seminit kemudian, namun ia gagal membantu mereka menghalang kemenangan Fenerbahce dalam perlawanan tersebut.
“Satu perasaan yang sangat gembira buat saya apabila diberikan peluang membuat debut bersama Fenerbahce. Tiga mata yang sangat bermakna buat kami,” kata Ozil yang pernah memenangi Piala Dunia 2014 bersama Jerman.
Kemenangan itu menyaksikan Fenerbahce kini berjaya melebarkan penguasaan sebagai pendahulu Liga Super Turki dengan kelebihan tiga mata ke atas musuh tradisi di tempat kedua, Galatasaray. – AGENSI