GEORGE TOWN – Seramai 50 anggota bomba mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkan kebakaran di atas Bukit Tanjung Bungah di sini sejak petang tadi.
Operasi memadamkan kebakaran yang berkeluasan kira-kira 18 ekar itu melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal dengan bantuan pasukan bomba sukarela.
Ketua Balai Bomba Bagan Jermal, Mohd. Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.44 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, bomba tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian dan kerja-kerja memadamkan api dilakukan menggunakan peralatan khas di kawasan satu dan dua dengan keluasan kebakaran adalah kira-kira 18 ekar.
“Anggota berdepan kekangan berikutan bentuk muka bumi yang berbukit. Operasi diteruskan sehingga malam ini.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba Pulau Pinang,”katanya di sini sebentar tadi – K! ONLINE